English translation not available for this content.

logo kpt black

SIARAN MEDIA

HUSM SAMBUT ULANG TAHUN KE-40, LAHIRKAN RIBUAN PAKAR DAN TAWAR PERKHIDMATAN KESIHATAN KEPADA MASYARAKAT


Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin telah menyempurnakan Majlis Sambutan 40 Tahun Hospital Universiti Sains Malaysia (Hospital USM) di Dewan Utama, Kampus Kesihatan USM, Kubang Kerian, Kelantan siang tadi.

Sambutan tersebut bertujuan untuk menyebar maklumat tentang perkembangan Hospital USM selaras dengan objektif penubuhannya; berkongsi informasi terkini mengenai pencapaian, skop dan fungsi utama Hospital USM; melestarikan pencapaian unggul dalam perkhidmatan kesihatan kepada masyarakat setempat; dan mempromosikan perkhidmatan kesihatan ke arah masyarakat sihat selaras dengan konsep Malaysia MADANI.

Beroperasi sejak tahun 1983, Hospital USM sehingga kini telah melahirkan lebih 2,000 orang pakar perubatan rentas bidang dengan melalui pelbagai evolusi dalam melaksanakan fungsinya sebagai sebuah Hospital Pengajar Universiti (HPU) dan menawarkan perkhidmatan kesihatan kepada masyarakat.

Justeru, sambutan ini adalah satu peristiwa yang sangat bermakna untuk memperingati perjalanan kejayaan yang terlakar sepanjang empat dekad penubuhannya. Tidak hanya menyaksikan perubahan dalam landskap perubatan, tetapi juga menyaksikan kisah-kisah kejayaan dan kisah penyembuhan yang menyayat hati. Setiap pesakit yang dirawat adalah sebahagian daripada kisah besar Hospital USM dalam memberikan harapan kepada mereka yang memerlukan bantuan.

Sebagai pelopor dalam bidang penjagaan kesihatan di Negeri Kelantan, khususnya dan wilayah Pantai Timur, amnya, Hospital USM menjadi tonggak utama kesihatan masyarakat yang sentiasa memberi khidmat terbaik kepada ribuan pesakit setiap tahun.

Dari asas kecil yang dimulakan 40 tahun lalu, Hospital USM kini melangkah ke hadapan sebagai institusi yang terkenal dengan kecemerlangan perubatan, inovasi, teknologi dan kepakaran pasukan perubatan yang berdedikasi. Antara perkhidmatan baharu yang ditawarkan di Hospital USM ialah Perkhidmatan Laser Refraktif, Perkhidmatan Laser Estetik/ Kosmetik dan Rawatan Luka Kebakaran, Perkhidmatan Rehabilitasi Robotik.

Usia 40 tahun bukanlah satu tempoh yang singkat dan sepanjang tempoh itu, Hospital USM telah berkembang menjadi pusat perubatan serta penyelidikan yang terkemuka di Malaysia. Sebagai satu-satunya penerima status Universiti APEX di Malaysia sejak tahun 2008, Hospital USM merupakan salah satu tonggak utama dalam memperkasakan agenda APEX USM.

Antara matlamat penubuhan Universiti APEX adalah untuk menjadi sebuah universiti yang tersohor dan universiti rujukan kepada universiti lain. Di samping itu, universiti juga bertanggungjawab untuk menghasilkan pelajar yang cemerlang, gemilang dan terbilang serta mampu menghasilkan kajian dalam bidang penyelidikan, pembangunan dan pengkomersialan (R&D&C) yang berkualiti serta memberi manfaat kepada masyarakat.

Sebagai sebuah HPU, adalah menjadi tanggungjawab Hospital USM untuk menyediakan perkhidmatan kesihatan yang terbaik bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan, penyelidikan yang lebih inovatif dan menjalankan pendekatan holistik terhadap kesihatan masyarakat. Hospital USM juga akan terus berusaha untuk meningkatkan perkhidmatan, mengintegrasi teknologi terkini dan mengekalkan komitmen terhadap kecemerlangan dalam penjagaan kesihatan.

Kementerian Pendidikan Tinggi
19 November 2023

Muat Turun:

pdf Siaran Media Sambutan 40 Tahun Hospital USM.pdf (86 KB)

  • Last updated on .
  • Hits: 7693
MoHE Logo

Ministry of Higher Education Official Portal © All Rights Reserved

Last Modified: Friday 19 July 2024, 02:51:53.