SIARAN MEDIA
BELANJAWAN 2026: RM18.60 BILION PACU PENDIDIKAN TINGGI
NEGARA
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menyambut baik dan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan serta terima kasih kepada Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim atas pembentangan Belanjawan 2026 yang bertemakan “BELANJAWAN MADANI KEEMPAT: BELANJAWAN RAKYAT”. KPT telah diperuntukkan sebanyak RM18.60 bilion bagi sektor pendidikan tinggi.
Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM14.68 bilion diperuntukkan untuk belanja mengurus, manakala RM3.91 bilion disediakan bagi belanja pembangunan, dengan peningkatan sebanyak 2.76 peratus berbanding tahun 2025 (RM18.09 bilion).
Peningkatan peruntukan ini mencerminkan komitmen Kerajaan untuk meningkatkan kebolehpasaran graduan dan memperkasa TVET, memperkukuh penyelidikan, pembangunan dan inovasi, memperluas akses pendidikan tinggi berkualiti serta kebajikan pelajar.
KPT akan terus memacu kecemerlangan pendidikan tinggi melalui inisiatif Belanjawan 2026 yang terkait langsung dan tidak langsung dengan KPT seperti yang berikut:
1. Kerajaan memperkukuh kebajikan mahasiswa melalui pelaksanaan Ikhtiar Dapur MADANI, MySiswa Job On Campus dan penyelenggaraan prasarana Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) dengan peruntukan keseluruhan melebihi RM446 juta;
2. Peruntukan TVET dinaikkan kepada RM7.9 bilion yang turut akan memanfaatkan institusi TVET di bawah Kementerian. Daripada jumlah ini, Majlis TVET Negara menerima RM45 juta bagi menerapkan ilmu teknologi digital dan AI kepada 10,000 orang pelajar tahfiz dan pondok melalui Program IPT@Komuniti;
3. Kemudahan institusi TVET turut dinaik taraf iaitu membina Kompleks Teaching Shipyard TVET Marine di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) untuk bidang maritim dalam menyokong pembangunan ekonomi biru;
4. Bagi menangani krisis penginapan di universiti, kerjasama antara Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Universiti Malaya (UM) akan dirintis untuk membina 1,000 unit residensi di UM;
5. Bagi memberi ruang lebih ramai anak muda cemerlang termasuk lulusan STPM melanjutkan pengajian di lima buah Universiti Penyelidikan, Kerajaan bersetuju menambah 1,500 lagi unjuran tempat bagi Ijazah Sarjana Muda dalam 10 bidang pengajian antaranya undang-undang, perakaunan, ekonomi, perbankan, kewangan Islam, Kecerdasan Buatan (AI) serta bahasa;
6. Bagi memperkasa bidang perubatan, Kerajaan turut bersetuju melaksanakan dua projek kerjasama awam-swasta iaitu Pembangunan Teknopolis Kesihatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Malaya Health Metropolis;
7. Kerajaan juga telah memperuntukkan sebanyak RM12 juta kepada Hospital Pengajar Universiti terpilih untuk mengaplikasikan hasil ciptaan dalam urusan pemulihan pesakit secara bersasar;
8. Kerajaan memperuntukkan RM16 juta bagi memperkasa bidang aeronautik, termasuk pembangunan Air Space Sandbox pertama negara oleh Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dan pembinaan lapangan terbang latihan penerbangan maritim oleh Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) bagi melahirkan juruterbang amfibia tempatan;
9. Kerajaan turut memperkenalkan insentif pendidikan percuma PTPTN kepada 5,800 pelajar daripada keluarga miskin dengan peruntukan RM120 juta setahun serta pengecualian bayaran balik kepada 6,000 graduan Ijazah Sarjana Muda Kepujian Kelas Pertama daripada keluarga B40 dan M40, manakala peminjam berkemampuan yang culas membayar balik pinjaman akan disekat perjalanan ke luar negara;
10. Peluang pendidikan Bumiputera juga diberi keutamaan dengan peruntukan keseluruhan berjumlah RM6 bilion kepada MARA, Yayasan Peneraju dan Universiti Teknologi MARA (UiTM);
11. Kerajaan memperkenalkan langkah menggalakkan pengkomersialan hasil R&D dengan membenarkan pensyarah universiti awam mengambil cuti sabatikal setahun serta menyalurkan RM10 juta melalui penubuhan Dana Nasional Syarikat Terbitan;
12. Bagi menangani Isu kesesakan di hospital awam, Kerajaan akan meningkatkan kerjasama bagi menyumber luar pesakit ke hospital tentera, universiti dan swasta dengan peruntukan sebanyak RM140 juta. Bagi tujuan ini, Kerajaan akan membina hospital, klinik dan blok tambahan baharu meliputi Pembangunan Advanced Surgical Block di Hospital Pakar USM, Kubang Kerian, Kelantan.
KPT yakin bahawa keseluruhan peruntukan yang diumumkan akan membantu memperkukuh ekosistem pendidikan tinggi negara agar lebih berdaya tahan, inklusif dan berorientasikan masa depan.
Kementerian akan terus bekerjasama erat dengan semua Universiti Awam, Politeknik, Kolej Komuniti serta institusi swasta untuk memastikan setiap peruntukan dimanfaatkan secara berhemah dan memberi impak langsung kepada pembangunan modal insan negara.
KEMENTERIAN PENDIDIKAN TINGGI
11 Oktober 2025
Muat Turun:
pdf Siaran Media - Belanjawan 2026: RM18.60 Bilion Pacu Pendidikan Tinggi Negara(119 KB)
- Last updated on .
- Hits: 2580