English translation not available for this content.

logo kpt black

KENYATAAN MEDIA

SOKONGAN PADU TERHADAP PENDIRIAN KERAJAAN MALAYSIA
DALAM MEMPERTAHANKAN HAK DAN KEBEBASAN RAKYAT
PALESTIN


Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menzahirkan penghargaan dan sokongan penuh terhadap pendirian tegas Kerajaan Malaysia dalam mempertahankan hak dan kebebasan rakyat Palestin. Seiring dengan dasar kerajaan, KPT berdiri teguh memperjuangkan keadilan kemanusiaan sejagat serta menolak sebarang bentuk penindasan terhadap rakyat dan mereka yang tidak berdosa.

Kementerian turut melahirkan rasa syukur atas keselamatan 23 orang rakyat Malaysia yang menyertai Misi Sumud Flotilla ke Gaza baru-baru ini. Setinggi-tinggi penghargaan dirakamkan kepada YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim atas keprihatinan, kebijaksanaan diplomasi serta jaringan antarabangsa beliau yang berkesan dalam memastikan kesemua sukarelawan negara dibebaskan dan dibawa pulang ke tanah air dengan selamat. Usaha ini mencerminkan kepimpinan beliau yang dihormati di peringkat global serta komitmen Malaysia terhadap misi keamanan.

KPT juga menyokong sepenuhnya usaha berterusan rakyat Malaysia yang kini bersama Freedom Flotilla Coalition (FFC) dalam pelayaran membawa misi kemanusiaan ke Gaza. Doa dan harapan tulus diiringkan agar perjuangan mereka dipermudahkan dan setiap langkah akan dilindungi daripada sebarang ancaman.

Kementerian amat berbangga dengan penglibatan Prof. Dr. Afandi Salleh dari Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) yang menjadi antara wakil Malaysia dalam misi FFC tersebut. Penyertaan beliau mencerminkan semangat solidariti tinggi dalam kalangan warga pendidikan tinggi negara termasuk para pensyarah, pelajar, dan seluruh komuniti IPT terhadap perjuangan kemanusiaan sejagat.

Sebagai institusi yang mendukung pembangunan insan dan ilmu, KPT akan terus memupuk nilai kepriharinan, empati dan tanggungjawab global dalam kalangan warga kampus. Semoga semangat keberanian serta keikhlasan yang dizahirkan melalui misi ini menjadi inspirasi kepada seluruh rakyat Malaysia untuk terus bersatu menyokong perjuangan rakyat Palestin.

KEMENTERIAN PENDIDIKAN TINGGI
6 OKTOBER 2025

Muat Turun:

  pdf Kenyataan Media - Sokongan Padu Terhadap Pendirian Kerajaan Malaysia Dalam Mempertahankan Hak Dan Kebebasan Rakyat Palestin(117 KB)

  • Last updated on .
  • Hits: 2050
MoHE Logo

Ministry of Higher Education Official Portal © All Rights Reserved

Last Modified: Friday 24 October 2025, 04:17:19.

sirim-logo