English translation not available for this content.

logo kpt black

SIARAN MEDIA

KEMUDAHAN PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN (PdP) SECARA DALAM TALIAN / HIBRID SEMPENA SAMBUTAN PERAYAAN DEEPAVALI 2025


Bersempena sambutan perayaan Deepavali pada 20 Oktober 2025, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan memberikan kemudahan pelaksanaan sesi Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) secara dalam talian atau hibrid kepada pelajar serta tenaga pengajar beragama Hindu di seluruh Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) meliputi Universiti Awam, Politeknik dan Kolej Komuniti bagi meraikan perayaan Pesta Cahaya ini.

Melalui perbincangan bersama jabatan dan agensi berkaitan, kemudahan PdP ini akan berkuat kuasa dari 16 Oktober 2025 (Khamis) hingga 24 Oktober 2025 (Jumaat). Namun, pelaksanaannya adalah tertakluk kepada kesesuaian dan keperluan program akademik masing-masing di institusi terlibat, agar tidak menjejaskan perjalanan aktiviti akademik secara keseluruhan.

Langkah ini diambil bagi memberi ruang dan kemudahan kepada pelajar serta tenaga pengajar beragama Hindu untuk menyambut Deepavali bersama keluarga dalam suasana yang harmoni dan bermakna, selaras dengan semangat keterangkuman dan keharmonian masyarakat majmuk Malaysia.

KPT turut mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Menyambut Hari Deepavali kepada semua pelajar, tenaga akademik, warga KPT serta seluruh rakyat Malaysia yang beragama Hindu.

Semoga perayaan ini membawa cahaya kegembiraan, kedamaian dan kesejahteraan kepada semua.

“Deepavali Nal Valthukal”

Kementerian Pendidikan Tinggi
13 Oktober 2025

Muat Turun:

  pdf Siaran Media - Kemudahan Pengajaran Dan Pembelajaran (PdP) Secara Dalam Talian / Hibrid Sempena Sambutan Perayaan Deepavali 2025(161 KB)

  • Last updated on .
  • Hits: 3486
MoHE Logo

Ministry of Higher Education Official Portal © All Rights Reserved

Last Modified: Friday 24 October 2025, 04:17:19.

sirim-logo