KENYATAAN MEDIA
PENJELASAN ISU DAKWAAN PELAJAR BANGLADESH
Saya telah mengikuti ucapan YB Dr. Haim Hilman bin Abdullah, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah merangkap Pengerusi Jawatankuasa Industri & Pelaburan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi & Inovasi, yang telah mengeluarkan kenyataan dalam sidang Dewan Undangan Negeri Kedah baru-baru ini sehingga dijadikan bahan di platform media sosial beliau.
Saya menasihatkan beliau agar lebih berhati-hati dalam membuat sebarang kenyataan berhubung apa-apa isu termasuk yang berkaitan dengan pendidikan tinggi. Hanya berdasarkan laporan surat khabar di Bangladesh, beliau telah membuat tuduhan bahawa saya telah bersetuju untuk mempertimbangkan ‘Graduate Pass’ kepada 10,000 pelajar Bangladesh di Malaysia untuk membolehkan mereka bekerja di sini. Tuduhan tersebut adalah tidak benar dan tidak tepat sama sekali.
Sebagai penjelasan, semasa lawatan TYT Prof. Dr. Muhammad Yunus baru-baru ini tidak ada sebarang Memorandum Persefahaman (MoU) atau perjanjian ditandatangani yang mengikat Malaysia untuk menerima 10,000 pelajar Bangladesh bekerja di negara ini. Dakwaan bahawa wujud perjanjian sedemikian adalah tidak berasas. Kenyataan beliau yang mendakwa kononnya rakyat resah kerana Malaysia telah bersetuju dengan perkara ini adalah sangat tidak bertanggungjawab.
Sebagai seorang berlatarkan akademik, beliau seharusnya membuat kenyataan berdasarkan fakta yang benar, tepat, dan sahih, bukannya spekulasi atau menyebarkan maklumat semberono. Prinsip akademik menuntut kepada informasi yang berintegriti, bertepatan dan kebenaran.
Saya ingin menegaskan agar YB Dr. Haim Hilman tidak sewenang-wenangnya mencipta persepsi dengan menyampaikan maklumat yang tidak tepat serta mengelirukan rakyat. Budaya menghasilkan ‘content’ untuk diviralkan di media sosial dengan fakta yang salah perlu segera dihentikan.
DR. ZAMBRY ABD KADIR
MENTERI PENDIDIKAN TINGGI
23 Ogos 2025
Muat Turun:
pdf Kenyataan Media - Penjelasan Isu Dakwaan Pelajar Bangladesh(140 KB)
- Last updated on .
- Hits: 2151