KENYATAAN MEDIA
DASAR KEMASUKAN PELAJAR ANTARABANGSA
TIDAK KETEPI PELAJAR TEMPATAN, TINGKAT PERSAINGAN GLOBAL
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) melalui Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025 (Pendidikan Tinggi) telah melaksanakan agenda pengantarabangsaan di semua Institusi Pendidikan Tinggi Awam/ Swasta (IPTA/ IPTS). Kini, Malaysia telah dilihat sebagai sebuah negara yang mampu menarik minat pelajar antarabangsa untuk mengikuti pengajian tinggi berdasarkan kepada kualiti program-program pendidikan yang ditawarkan di samping keterlihatan dan kesohoran kepakaran tenaga akademik di universiti tempatan.
Berdasarkan data pada 31 Disember 2024, secara keseluruhannya enrolmen pelajar antarabangsa di Malaysia adalah seramai 155,986 orang daripada jumlah 1,251,552 enrolmen pelajar di IPT Awam dan Swasta. Manakala untuk universiti awam (UA) secara khusus, terdapat seramai 53,322 orang pelajar antarabangsa untuk kedua- dua kategori prasiswazah dan pasca siswazah dengan peratusan pada 8.7% sahaja. Pelajar antarabangsa di peringkat prasiswazah UA ini adalah meliputi mereka yang mengambil ijazah pertama dan menyertai program mobiliti pelajar.
Susulan dakwaan pihak tertentu bahawa pelajar antarabangsa di lima (5) buah Universiti Penyelidikan (RU) iaitu Universiti Malaya (UM), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah mencecah angka 27% dan mengambil tempat pelajar tempatan, KPT ingin berkongsi data sebenar mengenai enrolmen pelajar antarabangsa di universiti-universiti tersebut. Bilangan pelajar tempatan dan antarabangsa di lima (5) universiti berkenaan adalah seramai 180,024 orang dengan perincian seramai 141,636 orang merupakan pelajar tempatan dan 38,388 orang atau 21.3% merupakan pelajar antarabangsa. Daripada jumlah tersebut, 15.8% adalah pelajar pasca siswazah dan baki 5.5% adalah pelajar prasiswazah.
Sesuai dengan status sebagai RU, kelima-lima buah universiti di atas memberi tumpuan pengambilan pelajar antarabangsa di peringkat pasca siswazah dan ini berjaya menarik 28,383 orang pelajar antarabangsa dan menyumbang 46.7% daripada jumlah enrolmen pelajar pasca siswazah. Kehadiran pelajar antarabangsa di peringkat pasca siswazah khususnya di UA dapat membawa perspektif baharu dalam konteks penyelidikan berdasarkan latar belakang budaya dan akademik mereka, seterusnya memperkaya perbincangan dan mendorong pendekatan yang lebih kreatif dalam menyelesai masalah. Tambahan pula kemasukan pelajar antarabangsa dapat meningkatkan kedudukan universiti dalam penarafan ranking. Lantaran itu, KPT tidak mengehadkan sebarang peratusan bagi pengambilan pelajar antarabangsa di peringkat pasca siswazah.
KPT juga ingin menegaskan bahawa semua pelajar antarabangsa dikenakan yuran penuh, tanpa sebarang subsidi oleh pihak Kerajaan dan kemasukan ke mana-mana program harus melalui proses saringan serta menepati syarat am dan khusus yang ditetapkan oleh pihak universiti. Di samping itu, hasil daripada yuran pelajar antarabangsa ini telah digunakan oleh UA bagi menambahbaik dan meningkatkan lagi fasiliti universiti masing-masing untuk dinikmati secara bersama oleh semua pelajar termasuk pelajar tempatan.
Kehadiran pelajar antarabangsa tidak hanya memberi nilai tambah yang besar kepada warga kampus, malah juga mencetus persekitaran pembelajaran yang dinamik dan reflektif dengan keperluan semasa bagi memperluas horizon pemikiran pelajar tempatan tanpa perlu ke luar negara. Justeru, dasar pengantarabangsaan dapat membuka peluang terbaik kepada pelajar tempatan untuk berinteraksi dan berkomunikasi serta mempelajari silang budaya sekali gus mempersiap siaga mereka untuk bersaing di peringkat global.
KPT sentiasa cakna dan komited dalam menyediakan tempat kepada calon pelajar tempatan dan tiada sebarang diskriminasi kepada warganegara tempatan untuk mengikuti pengajian di UA. Dalam hubungan ini, KPT sentiasa memantau pengambilan pelajar antarabangsa di semua universiti tempatan bagi memastikan pelajar tempatan terus diberi keutamaan dalam sektor pendidikan tinggi negara.
DATUK PROFESOR DR. AZLINDA AZMAN
KETUA PENGARAH PENDIDIKAN TINGGI
KEMENTERIAN PENDIDIKAN TINGGI
26 Ogos 2025
Muat Turun:
- Last updated on .
- Hits: 3174