Kenyataan Media-Kertas Cadangan Penyelesaian Isu ‘Parallel Pathway’ Dibentang Kepada Kabinet Pada 5 Jun 2024

English translation not available for this content.

logo kpt black

KENYATAAN MEDIA

KERTAS CADANGAN PENYELESAIAN ISU ‘PARALLEL PATHWAY’ DIBENTANG KEPADA KABINET PADA 5 JUN 2024


Sepertimana yang telah dimaklumkan oleh Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim berkaitan isu ‘Parallel Pathway’ untuk dibincangkan di dalam Mesyuarat Kabinet, saya telah diminta untuk menjelaskan kepada kabinet sementara ketiadaan Menteri Kesihatan, YB Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad yang kini berada di Perhimpunan Kesihatan Sedunia ke-77 (WHA77), Geneva.

Saya maklumkan bahawa isu pokok yang timbul buat masa ini berkaitan dengan kemelut Program Latihan Ijazah Lanjutan Kepakaran (Parallel Pathway) bidang pembedahan kardiotorasik adalah :
(i) Isu pengiktirafan latihan kepakaran ‘Parallel Pathway’ yang dilaksanakan oleh Kementerian Kesihatan; dan
(ii) Isu pendaftaran pegawai perubatan yang telah menamatkan latihan kepakaran ‘Parallel Pathway’ dalam Daftar Pakar (National Specialist Register – NSR) di bawah Majlis Perubatan Malaysia (MMC).

Isu perkara (i) dan (ii) telah dibawa dalam mesyuarat bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) pada April lalu bagi mencari penyelesaian. Sebagaimana yang telah diumumkan oleh YB Menteri Kesihatan melalui kenyataan akhbar bertarikh 2 April 2024, Akta Perubatan 1971 [Akta 50] akan dipinda bagi membolehkan beberapa masalah berbangkit dapat diselesaikan termasuklah mendaftarkan pegawai perubatan yang telah menamatkan latihan kepakaran ‘Parallel Pathway’.

Sehubungan dengan itu, kertas cadangan secara komprehensif telah disediakan dan akan dibentangkan oleh YB Menteri Kesihatan kepada kabinet pada 5 Jun 2024.

Seperti yang saya jelaskan sebelum ini, isu pengiktirafan pelajar kardiotorasik dan tuduhan membuka Universiti Teknologi Mara (UiTM) kepada bukan bumiputera adalah dua isu yang berbeza. Terdapat kumpulan yang cuba mengambil kesempatan sehingga menuduh UiTM bersikap 'apartheid' sedangkan isu utama adalah tiada pengesahan dan pengiktirafan daripada Majlis Perubatan Malaysia (MMC) kepada kumpulan pelajar ini.

Selain daripada UiTM yang sedang menjalankan Program Sarjana Sains Surgeri (Kardiotorasik), universiti lain termasuk Universiti Malaya (UM) sedang dalam proses mendapatkan Perakuan Akreditasi untuk kursus ini sebelum ditawarkan dalam masa terdekat.

Dengan usaha dan komitmen yang sedang dilakukan oleh Kerajaan Madani ini, adalah diharapkan natijah penyelesaian menyeluruh akan terhasil demi kepentingan negara dan rakyat.

DR. ZAMBRY ABD KADIR
29 Mei 2024

Muat Turun:

  pdf Kenyataan Media-Kertas Cadangan Penyelesaian Isu ‘Parallel Pathway’ Dibentang Kepada Kabinet Pada 5 Jun 2024 (93 KB)

  • Last updated on .
  • Hits: 3663
MoHE Logo

Ministry of Higher Education Official Portal © All Rights Reserved

Last Modified: Friday 19 July 2024, 10:52:23.