Kenyataan Media- Baucar Buku Pelajar IPT; KPT Agih Guna E-Baucar Mulai 1 Jun 2024

English translation not available for this content.

logo kpt black

KENYATAAN MEDIA

BAUCAR BUKU PELAJAR IPT; KPT AGIH GUNA E-BAUCAR
MULAI 1 JUN 2024


Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menyambut baik pengumuman YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim berkenaan pemberian baucar pembelian buku berjumlah RM100 kepada pelajar Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) sewaktu perasmian Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2024 (PBAKL 2024) semalam.

Pengumuman tersebut adalah satu langkah yang tepat dalam membantu menerapkan budaya cintakan ilmu dan buku sekali gus dapat membugar budaya membaca terutama dalam kalangan pelajar IPT.

Inisiatif tersebut bakal memberi manfaat kepada lebih 1.2 juta pelajar IPT warganegara Malaysia yang akan dilaksanakan secara berfasa bermula 1 Jun hingga 31 Disember 2024.

MEKANISME PELAKSANAAN

Bagi fasa pertama, penyaluran akan dilaksanakan melalui kaedah e-baucar dan KPT akan menawarkan 50,000 e-baucar sebagai menyokong PBAKL 2024.

Kod baucar akan dijana setelah semakan kelayakan dibuat di portal GREaT – Graduate Reference Hub for Employment and Training (kendalian KPT) iaitu https://great.mohe.gov.my, bermula 1 Jun 2024 (Sabtu) jam 10.00 pagi.

Penebusan kod baucar yang terjana di portal GREaT hanya sah digunakan untuk pembelian buku secara atas talian di platform BookCapital, https://bookcapital.com.my sahaja dengan setiap pelajar layak menebus baucar sejumlah RM100 bagi satu kali transaksi sahaja.

Baki baucar buku selebihnya akan disalurkan pada fasa berikutnya dengan mekanisme yang akan diumumkan kelak.

PEMILIHAN BOOK CAPITAL

Pemilihan BookCapital di bawah kelolaan Perbadanan Kota Buku yang juga merupakan penganjur bersama PBAKL 2024 bagi memudahkan pengguna sepanjang berlangsungnya pesta buku ini. Penggunaan platform lain akan digunakan pada fasa berikutnya.

KPT berharap inisiatif ini bukan sahaja dapat menyemarakkan budaya membaca, malah turut bakal merancakkan lagi industri buku akademik dan wacana ilmiah tempatan.

Kementerian Pendidikan Tinggi
31 Mei 2024

Muat Turun:

  pdf Kenyataan Media- Baucar Buku Pelajar IPT; KPT Agih Guna E-Baucar Mulai 1 Jun 2024 (341 KB)

  • Last updated on .
  • Hits: 16691
MoHE Logo

Ministry of Higher Education Official Portal © All Rights Reserved

Last Modified: Friday 19 July 2024, 10:52:23.