YBTM Kagum Kesungguhan Pelajar KK Beaufort Sabah Sertai Pertandingan Kulinari Antarabangsa

YBTM Kagum Kesungguhan Pelajar KK Beaufort Sabah Sertai Pertandingan Kulinari Antarabangsa
English translation not available for this content.

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, YB Datuk Ts. Mustapha Sakmud mengungkapkan rasa kagumnya terhadap kejayaan para pelajar Kolej Komuniti Beaufort Sabah (KKBS) yang komited dalam membuktikan bakat dan kemahiran mereka di pelbagai pertandingan kulinari serata dunia.

Para pelajar tersebut telah diberi latihan dan pendedahan melalui program KKBS Jelajah Dunia yang turut memberikan mereka peluang berharga bertemu serta bersaing dengan para peserta bertaraf dunia yang lain di pentas antarabangsa.

Beliau yang mengadakan lawatan kerja ke KKBS bagi menjayakan program Jejak TVET Madani pagi tadi telah disambut oleh Pengarahnya, Ts. Julikifli Awang Besar serta warga KKBS yang lain.

Pada lawatan tersebut, beliau turut tertarik dengan inisiatif program SofCom@Bfort iaitu projek pemasangan solar di Kampung Nabahan yang merupakan hasil kolaborasi antara Unit Keusahawanan KKBS melalui Syarikat Solar SE (milik pelajar Sijil Teknologi Elektrik KKBS) dengan Universiti Malaysia Sabah (UMS), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Sabah Net dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Menurut beliau, program SofCom@Bfort tersebut telah memberi sumbangan yang besar dalam menambahbaik infrastruktur di kampung tersebut, sekali gus menjana ekonomi seisi rumah yang selama ini bergantung kepada generator.

Selaras dengan objektif penubuhan kolej komuniti secara amnya, KKBS telah menyampaikan hasrat mereka bagi membangunkan sebuah asrama dalam usaha menarik lebih ramai pelajar mendaftar di situ, serta mampu menjamin keselamatan, menjimatkan kos dan meningkatkan keterlibatan aktiviti kampus dalam kalangan pelajar.

Dalam lawatan itu juga, beliau telah menyampaikan plak 'Jejak TVET Madani, Anugerah Peserta PSH Berjaya, serta Anugerah Alumni Aktif kepada para alumni yang telah mengikuti program-program anjuran KKBS.

Hadir sama wakil Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, yang juga Pengerusi Zon PolyCC Sabah iaitu En Mohd Sani Said. 

  • Last updated on .
  • Hits: 633
MoHE Logo

Ministry of Higher Education Official Portal © All Rights Reserved

Last Modified: Friday 19 July 2024, 10:52:23.