LIMA'23: YBM Tinjau Penyertaan KPT Di Lima'23

YBM Tinjau Penyertaan KPT Di Lima'23
English translation not available for this content.

Ketibaan Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato' Seri Mohamed Khaled Nordin ke Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC) petang tadi telah disambut oleh para Naib Canselor Universiti Awam yang mengambil bahagian dalam LIMA'23.

Edisi kali ke-16 ini menyaksikan penyertaan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang dijayakan oleh UA melalui pemeteraian pelbagai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan pihak industri tempatan dan antarabangsa serta hasil penyelidikan dan inovasi berkaitan sektor pertahanan dan maritim.

YB Menteri telah mengunjungi reruai Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) sambil diiringi oleh Naib Canselor UPNM, YBhg. Lt. Jen. Datuk Hasagaya Abdullah yang turut memberikan taklimat berkenaan beberapa MoU yang akan dimeterai esok.

Beliau juga sempat singgah ke reruai Universiti Utara Malaysia (UUM) dan disambut oleh Naib Canselornya, Prof. Dr. Mohd Fo’ad Sakdan serta warganya yang sedang mempromosikan produk dan inovasi mereka di situ.

Seterusnya, Naib Canselor Universiti Malaysia Terengganu (UMT), YBhg. Prof. Datuk Dr. Mazlan Abd Ghaffar turut memberikan taklimat kepada YB Menteri berkenaan beberapa inovasi universiti tersebut yang telah memenangi beberapa geran penyelidikan daripada agensi Kerajaan dan Kementerian.

Selain itu, beliau juga telah melancarkan Program Pembangunan Bakat Aeroangkasa Malaysia-Turkiye yang akan dilaksanakan oleh Konsortium Universiti Malaysia (CMU) yang diketuai oleh Pengerusinya merangkap Naib Canselor Universiti Malaya, YBhg. Dato' Ir. Dr. Mohd Hamdi Abd Shukor.

Usai di MIEC, YB Menteri seterusnya telah membuat lawatan ke Langkawi Tourism Academy @ Kolej Komuniti Langkawi dan disambut oleh Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, YBrs. Dr. Haji Mohd Zahari Ismail yang turut memberikan penerangan berkenaan peranan dan pencapaian mereka dalam mengupayakan komuniti setempat sesuai sebagai pusat pelancongan tersohor dunia.

  • Last updated on .
  • Hits: 2068
MoHE Logo

Ministry of Higher Education Official Portal © All Rights Reserved

Last Modified: Monday 27 May 2024, 18:16:03.