LIMA'23: UPSI, UniKL Jalin Kolaborasi Bangunkan Pusat Latihan Aeroangkasa Guna Metasemesta

LIMA'23: UPSI, UniKL Jalin Kolaborasi Bangunkan Pusat Latihan Aeroangkasa Guna Metasemesta
English translation not available for this content.

Pagi tadi YB Dato' Seri Mohamed Khaled Nordin, Menteri Pendidikan Tinggi yang dalam rangka lawatan kerjanya ke LIMA'23 telah menyaksikan pertukaran Memorandum Persetujuan (MoA) yang akan menerapkan teknologi metasemesta (metaverse) dalam metode pengajian aeroangkasa di IPT tempatan.

MoA tersebut telah dimeterai antara Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Institut Teknologi Penerbangan Malaysia (MIAT) di bawah Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dengan peneraju industri metasemesta Korea Selatan iaitu Augmented Knowledge Corporation dan juga syarikat kejuruteraan udara, Global Turbine Asia Sdn Bhd (GTA).

Persetujuan kerjasama industri-akademik ini bermatlamat untuk membangunkan Pusat Metasemesta Aeroangkasa (MC4A) di MIAT UniKL sebagai pusat latihan termaju dengan UPSI akan membangunkan modul instruksional pendidikan dan latihan digital sebagai bahan bantu mengajar berasaskan teknologi realiti mencakupi AR-VR-MR-XR.

Perkongsian kepakaran, bimbingan serta pembangunan latihan hasil daripada kerjasama 4 penjuru ini bakal mendorong para pelajar meneroka serta mempelajari ilmu baharu dan termaju bidang aeroangkasa.

Pada masa yang sama, YB Menteri turut berkesempatan melancarkan program 'Powering Innovation' yang mempunyai objektif membudayakan inovasi dalam kalangan pelajar melalui bimbingan pakar daripada GTA.

Beliau berharap agar kerjasama dan inisiatif seperti ini mampu memperkukuh jaringan serta merapatkan lagi hubungan industri-akademik yang semestinya akan memberikan impak positif kepada pelajar serta sektor pendidikan tinggi Malaysia.

  • Last updated on .
  • Hits: 2162
MoHE Logo

Ministry of Higher Education Official Portal © All Rights Reserved

Last Modified: Friday 19 July 2024, 10:52:23.