LIMA'23: Malaysia-Turkiye Jalin Kerjasama Program Pembangunan Bakat Aeroangkasa

Malaysia-Turkiye Jalin Kerjasama Program Pembangunan Bakat Aeroangkasa
English translation not available for this content.

Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato' Seri Mohamed Khaled Nordin tiba di Langkawi pagi tadi bagi mengetuai delegasi Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang menyertai Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2023 (LIMA'23).

Pada kunjungan ke pavilion Kumpulan Industri-Kerajaan Bagi Teknologi Tinggi Malaysia (Malaysian Industry-Government Group for High Technology [MIGHT]) petang tadi, beliau telah melancarkan Program Pembangunan Bakat Aeroangkasa Malaysia-Turkiye dalam bidang aeroangkasa.

Program tersebut merupakan susulan kepada Perjanjian Persefahaman (MoU) yang termeterai pada 7 April lalu melibatkan Konsortium Universiti Malaysia (CMU) dengan gergasi aeroangkasa Turkiye iaitu Turkish Aerospace Industries (TUSAS) melalui dua akademinya iaitu TUSAS Malaysia Sdn. Bhd. dan TUSAS Akademi hasil inisiatif MIGHT.

Dalam ucapannya, YB Menteri menyatakan yang Malaysia dan Turkiye bakal menerima manfaat masing-masing melalui program pembangunan bakat yang berpengetahuan dan berkemahiran tinggi untuk keperluan industri tempatan serta global, dan pada masa yang sama dapat memperkasa program aeroangkasa di institusi-institusi pendidikan tinggi (IPT) Malaysia yang mampu menghasilkan inovasi kejuruteraan dan penemuan teknologi baharu.

Antara aktiviti yang dikenal pasti dapat dilaksanakan melalui program ini adalah seperti skim latihan dan penempatan staf akademik; kolaborasi penyelidikan dan inovasi; program perantisan bagi para siswazah dan pascasiswazah; serta memperbanyak pertandingan aeroangkasa melibatkan para pelajar dari kedua-dua negara.

Tambah beliau, Kementeriannya akan terus memantau pelaksanaan serta perjalanan program ini bagi memastikan kejayaan dan kemampanan kolaborasi ini bakal memberi impak yang berterusan kepada masyarakat dan dunia.

Hadir sama ke majlis tersebut Duta Besar Turki ke Malaysia, TYT Emir Salim Yuksel; Ketua Setiausaha KPT, YBhg. Dato' Seri Abdul Razak Jaafar; Pengerusi Bersama (Kerajaan) MIGHT, YBhg. Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Zakri Abdul Hamid; Naib Canselor Universiti Malaya merangkap Pengerusi CMU, YBhg. Dato' Ir. Dr. Mohd Hamdi Abd Shukor; Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif MIGHT, YBhg. Datuk Dr. Mohd Yusoff Sulaiman; Naib Eksekutif Presiden (Sistem Angkasa) TUSAS, Prof. Dr. Selman Nas; dan Ketua Pegawai Eksekutif TUSAS Malaysia, Encik Mohd Shahiman Sulaiman.

  • Last updated on .
  • Hits: 2447
MoHE Logo

Ministry of Higher Education Official Portal © All Rights Reserved

Last Modified: Monday 24 June 2024, 18:57:36.