YB Timbalan Menteri Rasmikan Sidang Kemuncak Penyelidikan Pendidikan Tinggi Borneo 2025

YB Datuk Ts. Mustapha Sakmud, Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, telah merasmikan Elsevier-Borneo Higher Education Research Summit 2025 yang berlangsung pagi tadi.
Sidang kemuncak anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dengan kerjasama Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Elsevier itu mengangkat tema 'Innovating Through Ideas: Bridging Research and Impact', sebagai platform pemerkasaan penyelidikan dan perkongsian idea antara ahli akademik, industri dan pembuat dasar.
Penglibatan seramai 150 peserta yang terdiri daripada ahli akademik dari UMS dan universiti di rantau Borneo ini turut menyerlahkan peranan penyelidikan akademik dalam memajukan pelancongan lestari dan pemeliharaan budaya.
YB Timbalan Menteri dalam ucapannya menekankan bahawa KPT komited membina ekosistem penyelidikan yang mantap dan berdaya tahan menerusi tiga (3) fokus utama: penyelidikan pelbagai disiplin dan akses terbuka, pemacuan kepada Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) serta penerapan teknologi digital dan AI melalui pelaksanaan Pelan Tindakan AI Nasional.
Beliau turut menyatakan bahawa kerjasama strategik antara KPT dan UMS akan dapat meningkatkan kapasati penyelidikan, kecemerlangan akademik di samping penggunaan data dalam penghasilan keputusan di universiti di negara ini.
Sidang ini turut mengetengahkan empat (4) lensa transformasi utama iaitu penerapan AI dalam idea penyelidikan, pecutan inovasi daripada makmal ke pasaran dan dasar, pemuliharaan warisan menerusi pelancongan lestari serta penjajaran penyelidikan dengan agenda nasional dan serantau seperti Malaysia MADANI dan ASEAN.
Sebagai contoh kejayaan penyelidikan translasional, YB Datuk Ts. Mustapha memetik kolaborasi antara UMS, DBKK, Jabatan Pengairan dan Saliran (DID) dan NADMA dalam menghadapi isu banjir dan tanah runtuh di Sabah dan Sarawak yang telah membantu pihak berkuasa membuat jangkaan dan mitigasi risiko secara lebih berkesan.
Namun beliau turut mengingatkan bahawa beberapa cabaran kekal perlu diatasi seperti keperluan memperkukuh kerjasama rentas disiplin, memastikan penemuan akademik dapat diterjemah kepada penyelesaian praktikal serta penyediaan akses saksama kepada sumber dan dana untuk semua institusi.
YB Timbalan Menteri turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang menjayakan sidang kemuncak ini dan seterusnya merasmikan pembukaan rasmi Elsevier-Borneo Higher Education Research Summit 2025.
Turut hadir ialah Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor, serta Pengarah Serantau, Asia Tenggara, Australia dan New Zealand Elsevier, Omar Malik.
- Last updated on .
- Hits: 24