‘Mega Edufair Ayo Kuliah Di Malaysia 2025’ Raih Sokongan Besar Di Jakarta

Program pendidikan tinggi terbesar dari Malaysia, ‘MEGA Edufair Ayo Kuliah di Malaysia 2025’, telah berlangsung dengan meriah di Jakarta, Indonesia.
Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), YBhg. Datuk Dr. Anesee Ibrahim yang dalam rangka lawatan kerjanya ke Indonesia telah menyampaikan ucapan pembukaan penuh komitmen terhadap kerjasama pendidikan serantau.
Dalam ucapannya, Datuk Dr. Anesee menekankan kepentingan pameran ini dalam mengetengahkan konsep 3T (Tetangga, Terjangkau dan Terakui) yang menjadikan Malaysia destinasi pendidikan tinggi pilihan pelajar Indonesia.
“Kami membawa 21 IPT terbaik dari Malaysia, yang menawarkan program pengajian dari peringkat Diploma sehingga ke Doktor Falsafah (PhD),” ujar beliau.
Program ini merupakan hasil kolaborasi strategik antara Education Malaysia Global Services (EMGS), Education Malaysia Indonesia (EMI) dan KPT bertujuan memperkenalkan peluang pendidikan tinggi di Malaysia serta menyediakan maklumat terus kepada para pelajar dan ibu bapa.
Datuk Dr. Anesee turut menarik perhatian terhadap kos pendidikan yang berpatutan di Malaysia serta pengiktirafan antarabangsa terhadap program-program pengajian. Beliau turut memaklumkan bahawa Kuala Lumpur, ibu negara Malaysia, turut diiktiraf sebagai salah satu daripada 25 bandar pelajar terbaik di dunia menurut penarafan QS Best Student Cities 2025.
Sempena kepengerusian Malaysia dalam ASEAN 2025, beberapa inisiatif pendidikan turut diketengahkan, termasuk 'Graduate Pass' (Visa Pascasiswazah) selama setahun untuk graduan dari negara-negara ASEAN termasuk Indonesia. Pas ini memberi kemudahan untuk bekerja, melancong atau menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi di Malaysia.
Inisiatif lain yang diumumkan adalah ASEAN Global Exchange Mobility and Scholarship (ASEAN GEMS), sebuah platform atas talian yang menyediakan maklumat mengenai lebih 300 penyedia biasiswa dengan komitmen dana melebihi RM19 juta.
Datuk Dr. Anesee turut mengulangi komitmen KPT untuk terus memperkukuh kerjasama dengan negara jiran Indonesia dan membina ekosistem pendidikan tinggi serantau yang inklusif serta bersepadu.
“Melalui pameran ini, kami berharap dapat menyediakan maklumat langsung kepada para pelajar Indonesia yang berminat menyambung pengajian di Malaysia,” katanya sebelum merasmikan pembukaan rasmi MEGA Edufair Ayo Kuliah di Malaysia 2025.
Acara ini dijangka menarik ribuan pengunjung dan membuka ruang lebih luas kepada pelajar Indonesia dalam meneroka peluang pendidikan tinggi berkualiti di Malaysia.
Turut bersama Ketua Pegawai Eksekutif EMGS, Novie Tajuddin.
- Last updated on .
- Hits: 23