YB Menteri Sambut Baik Cadangan Penganjuran Konvensyen Antarabangsa Dan Jurnal Pentadbir Muda IPT

YB Menteri Sambut Baik Cadangan Penganjuran Konvensyen Antarabangsa Dan Jurnal Pentadbir Muda IPT
English translation not available for this content.

Cadangan mewujudkan Konvensyen Pentadbir Muda Peringkat Antarabangsa dan penerbitan Jurnal Pentadbir oleh peserta Program KARISMA PEMIMPIN MUDA MADANI (Pentadbir Muda IPT) telah disambut baik oleh YB Menteri Pendidikan Tinggi dan dilihat sebagai inisiatif strategik bagi memperkasa Institusi Pendidikan Tinggi (IPT).

Cadangan tersebut dikemukakan sendiri oleh peserta semasa sesi dialog bersama YB Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir yang berlangsung di Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT) petang tadi.

Menurut peserta, penganjuran konvensyen berskala antarabangsa akan membuka ruang kerjasama strategik antara pentadbir muda IPT Malaysia dan rakan sejawat dari luar negara dalam memperkukuh tadbir urus dan jaringan kepimpinan pendidikan tinggi di peringkat global.

Peserta turut mencadangkan agar sebuah jurnal khusus diperkenalkan bagi mendokumenkan amalan terbaik pentadbiran, kajian kes serta idea-idea baharu dalam pengurusan IPT yang boleh dimanfaatkan oleh seluruh ekosistem pendidikan tinggi negara.

YB Menteri menyifatkan cadangan berkenaan sebagai satu manifestasi pemikiran progresif yang lahir daripada generasi pentadbir muda berwawasan dan berpotensi untuk menjadi pemimpin masa hadapan.

“Inilah sebabnya saya perlu sentiasa dikelilingi oleh golongan muda yang berfikiran segar dan progresif. Cadangan-cadangan seperti ini wajar diangkat sebagai inisiatif nasional,” ujar beliau ketika memberikan maklum balas terhadap cadangan yang dikemukakan.

Program KARISMA PEMIMPIN MUDA MADANI (Pentadbir Muda IPT) menghimpunkan seramai 130 peserta dari 20 universiti awam serta Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), yang kesemuanya merupakan alumni Program KARISMA PEMIKIR MADANI.

Sepanjang tiga (3) hari penganjuran, peserta didedahkan kepada pelbagai modul latihan kepimpinan, wacana nilai MADANI, aktiviti kerohanian serta sesi libat urus bersama kepimpinan tertinggi KPT.

YB Menteri turut menegaskan bahawa usaha memperkukuh pentadbiran IPT memerlukan pemimpin muda yang tidak hanya berilmu dan berkemahiran, tetapi juga berjiwa besar, berintegriti serta memiliki semangat kebersamaan dan kecintaan terhadap institusi masing-masing.

Hadir sama Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KPT, Dato' Dr. Haji Megat Sany Megat Ahmad Supian; Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Prof. Dr. Azlinda Azman; Timb. Pengarah (Pusat Pembangunan Kepimpinan) AKEPT, Prof. Madya Dr. Azmul Fahimi Kamaruzaman; Timb. Pengarah (Pusat Pengurusan Bakat) AKEPT, Prof. Madya Dr. Norazharuddin Shah Abdullah; serta Pengarah Kanan (Kompetensi), Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), Ts. Abdul Razak Sabtu. 

  • Last updated on .
  • Hits: 56
MoHE Logo

Ministry of Higher Education Official Portal © All Rights Reserved

Last Modified: Tuesday 22 July 2025, 10:11:49.

sirim-logo