159 Pelajar UiTM Sabah Terima Bantuan Pengajian KPT-PTPTN MADANI

Seramai 159 orang pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sabah menerima manfaat melalui Bantuan Pengajian KPT-PTPTN MADANI yang disampaikan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir dalam satu majlis di Dewan Tun Mustapha, Kampus Kota Kinabalu hari ini.
Bantuan berjumlah RM500 seorang secara sekali beri (one-off) itu diberikan kepada pelajar yang merupakan peminjam PTPTN daripada keluarga B40 dan miskin tegar bagi meringankan beban sara hidup pengajian mereka.
YB Menteri dalam ucapannya menegaskan komitmen Kerajaan untuk memastikan tiada pelajar yang tercicir daripada pendidikan tinggi semata-mata kerana faktor kewangan.
“Saya tidak mahu lagi mendengar kisah anak-anak cemerlang daripada keluarga miskin yang gagal melanjutkan pengajian hanya kerana kemiskinan. Saya sendiri pernah melalui pengalaman itu dan saya tidak mahu ia berulang,” katanya.
Menurut beliau, Kerajaan melalui Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sentiasa berusaha menyediakan ruang pendidikan yang adil dan menyeluruh kepada semua pelajar tanpa mengira latar belakang.
“Pendidikan ini bukan sekadar peluang, tetapi satu-satunya harapan bagi banyak keluarga miskin untuk keluar daripada kesusahan. Kita tidak akan biarkan mereka tertinggal,” tegasnya lagi.
Sejak dilaksanakan pada tahun 2022, program ini telah memberi manfaat kepada 1,962 pelajar di 16 IPTA dengan jumlah keseluruhan bantuan sebanyak RM981,000.
Pelaksanaan program turut melibatkan kerjasama Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri dan IPTA terlibat bagi memastikan hanya pelajar yang benar-benar layak menerima bantuan.
Program ini merupakan antara inisiatif MADANI yang menzahirkan keprihatinan Kerajaan terhadap kebajikan pelajar dan akses pendidikan tinggi yang inklusif.
Turut hadir, Pengerusi PTPTN, Dato’ Seri Hjh. Norliza Abdul Rahim; Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid; Naib Canselor UiTM, Datuk Prof. Ts. Dr. Shahrin Sahib @ Sahibuddin; dan Rektor UiTM Cawangan Sabah, Prof. Madya Dr. Rozita @ Uji Mohammed.
- Last updated on .
- Hits: 82