KPT Sambut Baik Intervensi Skuad PETRA Tangani Isu Air UMS

Usai menyempurnakan program di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Kota Kinabalu, Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir telah meneruskan lawatan ke Universiti Malaysia Sabah (UMS) bagi mengiringi Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, YAB Dato’ Sri Haji Fadillah Haji Yusof, sempena siri jelajah PETRA Skuad Zon Sabah.
UMS menjadi lokasi pertama bagi inisiatif berkenaan yang memberi tumpuan kepada pelaksanaan pelan intervensi segera bagi menangani masalah gangguan bekalan air secara bersasar di Institusi Pendidikan Tinggi (IPT), khususnya di negeri Sabah.
Dalam lawatan tersebut, Kerajaan mengumumkan penyaluran peruntukan sebanyak RM1 juta bagi melaksanakan projek jangka pendek yang memberi manfaat langsung kepada lebih 3,000 pelajar kolej kediaman, khususnya di Kolej Tun Mustapha dan Kolej Tun Fuad.
Antara pelan intervensi yang akan dilaksanakan oleh Jabatan Bekalan Air (JBA) Sabah dengan kerjasama UMS ialah:
✅ Pembinaan saluran agihan khusus bagi menyambungkan sumber air bawah tanah yang telah dibangunkan oleh UMS;
✅ Penambahan tangki air bawah tanah dengan kapasiti tambahan sebanyak 0.13 juta liter;
✅ Pemasangan injap kawalan automatik (automated modulating valve) bagi menstabilkan aras air dalam tangki servis UMS.
YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry menyifatkan pendekatan bersepadu antara KPT dan PETRA sebagai satu bentuk sinergi MADANI yang memberi manfaat terus kepada pelajar.
“KPT menyokong penuh usaha PETRA kerana ia selari dengan misi kementerian untuk menyediakan persekitaran pembelajaran yang kondusif. Masalah air bukan hanya soal teknikal, ia juga soal keadilan dalam akses kepada pendidikan tinggi,” ujarnya.
Kerja-kerja intervensi dijangka mengambil masa satu (1) bulan dan mampu menyumbang kepada penambahbaikan ketara dalam operasi sistem bekalan air di kampus.
Turut hadir dalam lawatan tersebut ialah Naib Canselor UMS, Datuk Prof. Dr. Kasim Hj. Mansor, dan Pengarah Jabatan Bekalan Air Sabah, Haji Suhaimi Haji Asbullah.
- Last updated on .
- Hits: 55