Prof. Dr. Aidy Ali Dilantik Sebagai Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan Dan Inovasi) UPNM Yang Baharu

Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir telah menyampaikan surat pelantikan kepada Prof. Dr. Aidy Ali sebagai Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) untuk tempoh dua (2) tahun berkuat kuasa mulai 14 Julai 2025.
Prof. Dr. Aidy Ali yang mempunyai latar belakang akademik dalam bidang kejuruteraan merupakan tokoh akademik berpengalaman luas dalam aspek kepimpinan dan pentadbiran universiti. Beliau pernah memegang pelbagai jawatan utama di UPNM, antaranya Timbalan Pengarah II (Akademik), Institut Pengajian Eksekutif; Pengarah, Pejabat Antarabangsa; dan Dekan, Pusat Pengajian Siswazah.
Pelantikan ini disifatkan bertepatan dengan kepakaran dan minat beliau dalam bidang penyelidikan, di samping sumbangan signifikan dalam memperoleh pelbagai geran penyelidikan berimpak tinggi di peringkat dalam dan luar negara.
Keupayaan beliau dijangka mampu membawa anjakan paradigma dalam memperkukuh agenda penyelidikan dan inovasi UPNM.
Kementerian yakin pengalaman, pencapaian dan prestasi cemerlang beliau akan memperkukuh lagi peranan UPNM sebagai pusat kecemerlangan ilmu yang menyumbang kepada pembangunan negara.
Turut hadir pada sesi penyerahan watikah pelantikan yang diadakan pada 10 Julai lalu ialah Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi, Datuk Dr. Anesee Ibrahim.
- Last updated on .
- Hits: 10