YAB PM Seru Alumni Menyumbang Kepada Tabung Endowmen Universiti Malaya

Perdana Menteri, YAB Dato' Seri Anwar Ibrahim, menegaskan hasrat beliau untuk mewajibkan kesemua Jemaah Menteri yang merupakan alumni Universiti Malaya (UM) untuk memberikan sumbangan sebanyak RM10,000 kepada Tabung Endowmen Universiti Malaya (UMEF).
Jelasnya, sumbangan tersebut bagi menyokong inisiatif pembangunan universiti, termasuk meningkatkan infrastruktur, memperkayakan program akademik dan penyelidikan serta memperkukuh kedudukan UM sebagai institusi terulung di peringkat global.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan sembah ucapan di hadapan Canselor UM, DYMM Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzudin Shah yang berkenan bercemar duli menyerikan Majlis Malam Alumni Universiti Malaya 2024 di sini malam semalam.
Selain itu, beliau turut menyeru bukan sahaja alumni tetapi juga individu dan korporat, untuk terus menyumbang kepada UMEF yang ketika ini sedang mensasarkan peningkatan kutipan dana sedia ada dari RM220 juta kepada RM1 bilion demi kesinambungan kecemerlangan UM di masa hadapan.
Pada majlis tersebut, seramai 2,000 orang alumni telah menghadiri majlis, termasuk tokoh-tokoh dalam kalangan para Menteri, para ketua pentadbiran kerajaan dan perkhidmatan awam, ahli akademik, pemimpin sektor korporat dan industri, serta lain-lain lagi.
DYMM Sultan Perak turut berkenan menyampaikan plak penghargaan kepada para penyumbang yang telah menunjukkan komitmen besar mereka terhadap UMEF.
Hadir sama Ketua Setiausaha KPT, Dato’ Seri Ir. Dr Zaini Ujang, Timbalan Ketua Setiausaha KPT, Datuk Mohamad Azhan Md Amir dan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Prof. Dr. Azlinda Azman.
Kredit foto : Pusat Komunikasi Korporat Universiti Malaya
- Last updated on .
- Hits: 300