Kementerian Pendidikan Tinggi Teruskan Agenda Melahirkan Usahawan IPT Melalui Program UTC 2.0

Kementerian Pendidikan Tinggi Teruskan Agenda Melahirkan Usahawan IPT Melalui Program UTC 2.0
English translation not available for this content.

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) terus komited melahirkan usahawan muda sekaligus memperkukuh kolaborasi antara Kerajaan, Institusi Pendidikan Tinggi (IPT), industri dan masyarakat menerusi penganjuran Program University To Community (UTC) 2.0.

Program anjuran Seksyen Kebolehpasaran Graduan dan Keusahawanan, Bahagian Perancangan Strategik KPT bersama Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) tersebut menyaksikan penyertaan 420 orang pelajar dari 21 buah IPT dengan fokus kepada pemindahan ilmu dan transformasi model perniagaan ke arah pembangunan komuniti.

Menurut Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, YB Datuk Ts. Mustapha Sakmud, penganjuran program UTC 2.0 tersebut adalah selaras dengan Pelan Tindakan Keusahawanan IPT (PTK-IPT) 2021-2025 di bawah Teras 2 iaitu mewujudkan kolaborasi berimpak tinggi antara Kerajaan, IPT, agensi dan komuniti.

Beliau yang hadir bagi merasmikan Majlis Penutup pagi tadi turut memuji kejayaan program ini yang telah memberi impak positif kepada komuniti seperti asnaf, orang kelainan upaya (OKU) dan golongan B40.

“Melalui agenda keusahawanan di IPT yang dilaksanakan secara berterusan, tahun 2023 sahaja menyaksikan lebih 10,000 orang graduan telah bergelar usahawan yang seterusnya menjadi 'job creator'. Ini membuktikan IPT tempatan mampu menjadi pemangkin pembangunan sosio-ekonomi negara,” katanya.

Kerjasama sektor swasta seperti PKT Logistics Group Sdn. Bhd. turut membantu dalam memperkasakan program seperti ini dengan sumbangan dana pemula berjumlah RM50,000 bagi memacu potensi tinggi usahawan IPT pada masa hadapan.

Pada majlis tersebut juga, YB Timbalan Menteri turut menyampaikan hadiah kepada kesemua pemenang kategori-kategori program UTC 2.0 iaitu Pembentangan Terbaik (Universiti Malaya); Pempamer Terbaik (Universiti Utara Malaysia); Projek Terbaik (Universiti Malaysia Perlis); serta Anugerah Khas Juri (Kolej Komuniti Beaufort Sabah).

Hadir sama adalah Setiausaha Bahagian, Bahagian Perancangan Strategik KPT, Fazidah Mustafa dan Naib Canselor UPSI, Dato' Prof. Dr. Md Amin Md Taff. 

  • Last updated on .
  • Hits: 468
MoHE Logo

Ministry of Higher Education Official Portal © All Rights Reserved

Last Modified: Sunday 16 February 2025, 13:00:25.

sirim-logo