UTHM Meterai MoU Bersama OISCA Bagi Perkukuh Kerjasama Global Teknopreneur

UTHM Meterai MoU Bersama OISCA Bagi Perkukuh Kerjasama Global Teknopreneur
English translation not available for this content.

Sebagai langkah strategik memperluas jaringan kerjasama global, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Pertubuhan Kemajuan Industri, Kerohanian dan Budaya dari Negara Jepun (The Organization for Industrial, Spiritual and Cultural Advancement, OISCA) dalam satu majlis rasmi di sini siang tadi.

Majlis menandatangani MoU tersebut telah disaksikan oleh Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, YB Datuk Ts. Mustapha Sakmud sekali gus menzahirkan komitmen Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam menyokong kerjasama antarabangsa yang bersifat holistik dan berteraskan kelestarian.

MoU bagi tempoh lima tahun itu ditandatangani oleh Naib Canselor UTHM, Prof. Dr. Mas Fawzi Mohd Ali dan Naib Presiden Eksekutif OISCA International, Yasuaki Nagaishi meliputi bidang mobiliti dan pembangunan pelajar, penyelidikan bersama, penempatan industri untuk staf akademik, perundingan, inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) berkaitan alam sekitar serta bidang lain yang dipersetujui bersama.

Kerjasama ini adalah sebahagian daripada strategi UTHM dalam merealisasikan aspirasi Global Technopreneur University 2030 khususnya dalam melahirkan graduan yang kompeten, berdaya saing dan berwawasan global.

OISCA, sebuah pertubuhan bukan kerajaan dari Jepun yang berpengalaman lebih 60 tahun dalam mempromosikan kerjasama antarabangsa menerusi penglibatan industri, nilai kerohanian dan budaya, mempunyai rangkaian lebih 20 pusat latihan, 31 cawangan serta jalinan kerjasama dengan 41 buah negara sekali gus memberi kelebihan kepada UTHM untuk mengakses pelbagai peluang antarabangsa.

Sinergi antara UTHM dan OISCA merangkumi pelaksanaan program mobiliti pelajar, pertukaran pelajar, latihan industri, penyelidikan dalam bidang teknologi, pembangunan komuniti serta pemuliharaan alam sekitar selaras dengan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) yang didukung bersama.

UTHM juga merancang memperkukuh impak sosial melalui pelaksanaan program khidmat masyarakat, latihan TVET dan kempen kesedaran kelestarian bersama OISCA sekali gus memenuhi aspirasi UTHM Prihatin sebagai fungsi teras universiti.

Kolaborasi ini turut dilihat mampu meningkatkan jaringan industri dan antarabangsa warga UTHM serta membuka peluang kerjasama berimpak tinggi yang bersifat rentas sempadan.

Turut hadir Pengerusi Lembaga Pengarah UTHM, Dato’ Sri Ibrahim Ahmad. 

  • Last updated on .
  • Hits: 9
MoHE Logo

Ministry of Higher Education Official Portal © All Rights Reserved

Last Modified: Monday 11 August 2025, 09:15:23.

sirim-logo