Kepercayaan IPT-Industri Kunci Perkasa Ekosistem Semikonduktor Negara

Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir menegaskan bahawa kepercayaan antara Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) dan industri merupakan asas utama dalam memperkasa ekosistem semikonduktor negara.
Beliau berkata demikian semasa merasmikan Simposium Antarabangsa Institut Jurutera Elektrik dan Elektronik (Institute of Electrical and Electronics Engineers, IEEE) mengenai Analisis Fizikal dan Kegagalan Litar Bersepadu kali ke-32 (32nd IEEE International Symposium on the Physical and Failure Analysis of Integrated Circuits, IPFA 2025) yang berlangsung di sini pagi tadi.
Menurut beliau, hubungan rapat antara dunia akademia dan industri perlu dimantapkan secara strategik bagi membina kapasiti sebenar negara melalui penyelidikan, inovasi dan pembangunan bakat berkualiti tinggi.
IPFA 2025 yang berlangsung dari 5 hingga 8 Ogos 2025 di SPICE Convention Centre merupakan penganjuran bersama Universiti Sains Malaysia (USM), IEEE Singapore Chapter dan Institut Mikrokejuruteraan dan Nanoelektronik (IMEN), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Sebanyak 150 kertas kerja telah diterima untuk dibentangkan, melibatkan penyertaan 70 peratus daripada luar negara, dengan pengisian utama termasuk tiga penceramah utama, bengkel teknikal, sesi jemputan industri dan pameran teknologi cip semikonduktor.
Bengkel khas turut diadakan kepada 130 orang pelajar daripada lima (5) IPT awam dan swasta, termasuk Universiti Xiamen Malaysia, bagi memberi pendedahan langsung kepada reka bentuk litar bersepadu dan analisis kegagalan cip.
Dalam ucapannya, YB Menteri turut menekankan pelaksanaan Program Perantisan Rekabentuk Litar Bersepadu (IC Design Apprenticeship) yang dikendalikan oleh Pusat Kecemerlangan Rekabentuk Mikroelektronik Kolaboratif USM (Collaborative Microelectronic Design Excellence Centre, CEDEC USM) serta pengiktirafan industri terhadap program Sarjana melalui APEL dalam Pembungkusan Semikonduktor Termaju.
Beliau turut menyempurnakan perasmian USM–Sandisk CiA Lab di Batu Kawan, yang merupakan model pertama ‘universiti dalam industri’ di Malaysia hasil kerjasama strategik antara USM dan Sandisk sejak tahun 2020.
Makmal berkenaan menempatkan penyelidik, pelajar dan pensyarah dalam persekitaran industri sebenar, dengan tumpuan terhadap teknologi Lights Out Manufacturing dan IR4.0 yang selaras dengan pengiktirafan fasiliti tersebut sebagai 4IR Lighthouse oleh Forum Ekonomi Dunia.
Turut hadir, Ketua Setiausaha KPT, Datuk Dr. Anesee Ibrahim; Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar), Dato’ Dr. Haji Megat Sany Megat Ahmad Supian; Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Prof. Dr. Azlinda Azman; Naib Canselor USM, Prof. Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed; Naib Canselor UKM, Prof. Dr. Sufian Jusoh; serta wakil-wakil kanan syarikat antarabangsa seperti Intel, AMD, Infineon, Qualcomm dan Sandisk.
- Last updated on .
- Hits: 7