Pelantikan Universiti Mahsa Sebagai QVC MQA Perkukuh Kedudukan Malaysia Sebagai Penyedia Micro-Credential Global

Pelantikan Universiti Mahsa Sebagai QVC MQA Perkukuh Kedudukan Malaysia Sebagai Penyedia Micro-Credential Global
English translation not available for this content.

Malaysia terus mengorak langkah sebagai peneraju global dalam bidang micro-credential apabila kini berada di kedudukan ketiga tertinggi dunia dari segi penyediaan kursus, mengatasi banyak negara maju lain, menurut Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).

Pencapaian ini diperkukuh dengan pelancaran rasmi Pusat Verifikasi Kualiti (Quality Verification Centre, QVC) di Universiti MAHSA yang merupakan Institusi Pendidikan Tinggi Swasta (IPTS) pertama diberi kepercayaan oleh MQA untuk menjalankan peranan strategik tersebut.

QVC merupakan antara pemacu utama pelaksanaan sistem micro-credential berasaskan fleksibiliti, pengiktirafan industri dan pembelajaran sepanjang hayat, selari dengan aspirasi Pelan Pembangunan Pendidikan Tinggi Malaysia 2025–2035 (PPPTM 2025–2035) yang bakal dilancarkan tidak lama lagi.

Majlis pelancaran telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, YB Datuk Ts. Mustapha Sakmud, yang menyifatkan pelantikan Universiti MAHSA sebagai satu anjakan penting dalam menjamin kualiti, kredibiliti dan pengiktirafan micro-credential di peringkat nasional dan antarabangsa.

“Micro-credential bukan sekadar sijil. Ia adalah pemacu pembangunan sahsiah dan profesionalisme. Ia memperkasakan tenaga kerja negara, meningkatkan mobiliti bakat dan menyokong matlamat Malaysia menjadi ekonomi berasaskan pengetahuan yang berpendapatan tinggi,” katanya.

Beliau turut menyatakan keyakinan bahawa pelaksanaan QVC akan memperluas akses pendidikan yang bersasar dan bersesuaian dengan keperluan industri, serta menyokong pembangunan modal insan negara yang inklusif dan berdaya saing.

Pelaksanaan QVC seperti di Universiti MAHSA turut membolehkan kursus-kursus micro-credential yang ditawarkan disahkan dari segi kualiti, kebolehpasaran dan kebolehpercayaan, sekali gus mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab pendidikan alternatif serantau.

Sebagai langkah pengukuhan pelaksanaan, Universiti MAHSA turut menandatangani empat Surat Niat (Letter of Intent) dengan rakan strategik iaitu Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), University of Portsmouth, United Kingdom, Persatuan Institusi Pendidikan Swasta Malaysia (NAPEI) dan Pharmaniaga Berhad. Kerjasama ini dijangka memacu pembangunan kursus micro-credential dalam bidang kesihatan, pertahanan, kepimpinan dan sains farmaseutikal.

Pelancaran QVC turut mencerminkan komitmen Universiti MAHSA dalam menyediakan pendidikan bertaraf global yang fleksibel, inklusif dan responsif terhadap keperluan masyarakat, selaras dengan agenda pembelajaran sepanjang hayat serta inisiatif peningkatan dan penyesuaian kemahiran tenaga kerja negara.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif MQA, YBhg. Datuk Prof. Dr. Mohammad Shatar Sabran; Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi (Akademik dan Penyelidikan), Prof. Dr. Zainal Amin Ayub; Canselor Universiti MAHSA, YAB Tun Dato’ Seri Zaki bin Tun Azmi; Pengerusi Eksekutif Universiti MAHSA, YB Senator Prof. Tan Sri Datuk Dr. Hj. Mohamed Haniffa Hj. Abdullah; Pro-Canselor Universiti MAHSA, Prof. Emeritus Dato’ Dr. Ishak Abdul Razak; Pengarah Urusan Kumpulan MAHSA, Dato’ Dr. Shahril Haniffa Tan Sri Haniffa; serta wakil-wakil institusi rakan strategik yang terlibat. 

  • Last updated on .
  • Hits: 8
MoHE Logo

Ministry of Higher Education Official Portal © All Rights Reserved

Last Modified: Monday 11 August 2025, 09:15:23.

sirim-logo