Jelajah Pendidikan Tinggi Siri 3 Dekati Komuniti Luar Bandar Sabah

Jelajah Pendidikan Tinggi Siri 3 Dekati Komuniti Luar Bandar Sabah
English translation not available for this content.

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) meneruskan usaha mendekatkan pendidikan kepada masyarakat luar bandar melalui penganjuran Program Jelajah Pendidikan Tinggi untuk Komuniti@Sabah Siri Ketiga di Kampung Landong Ayang, Kudat, hari ini.

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, YB Datuk Ts. Mustapha Sakmud berkata program ini adalah kesinambungan komitmen KPT untuk membawa kepakaran dan khidmat pendidikan terus ke lapangan, khususnya kepada masyarakat di luar bandar Sabah.

“Pendekatan ini membuktikan institusi pendidikan tinggi (IPT) bukan lagi sekadar menara gading, tetapi menjadi jantung pembangunan komuniti. Kita turun padang untuk berkongsi kepakaran, bukan menunggu komuniti datang ke kampus,” katanya ketika berucap merasmikan program tersebut.

Program anjuran Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) ini diselaras oleh Kolej Komuniti Kota Marudu dengan penglibatan pensyarah, pelajar dan pemimpin tempatan. Penganjurannya menampilkan pelbagai aktiviti kemasyarakatan, kursus kemahiran dan program pemindahan ilmu.

Antara pengisian utama ialah Kursus Pendek Asas Penyelenggaraan Motor yang memberi kemahiran praktikal untuk membantu mengurangkan kos penyelenggaraan kenderaan, Kursus Pendek Asas 'Art & Craft' serta Kursus Penghasilan Mi Kuning yang berpotensi menjadi sumber penjanaan pendapatan, khususnya bagi golongan wanita.

YB Timbalan Menteri berkata, program siri ketiga ini meneruskan kejayaan dua siri terdahulu yang diadakan di Kota Belud pada 5 Julai dan Kota Kinabalu pada 3 Ogos lalu, yang mendapat sambutan baik daripada komuniti setempat.

Beliau turut menegaskan bahawa peluang melanjutkan pengajian di Kolej Komuniti terbuka luas khususnya golongan belia. “Syarat minima untuk masuk ke Kolej Komuniti hanyalah kelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dengan sekurang-kurangnya satu kredit. Inilah peluang terbaik bagi anak-anak kita yang mahu menguasai kemahiran dan memulakan kerjaya lebih awal,” katanya.

Beliau juga mengajak masyarakat Kampung Landong Ayang untuk memanfaatkan sepenuhnya peluang yang dibawa melalui jelajah ini bagi memperkaya ilmu pengetahuan, meningkatkan kemahiran serta mengukuhkan jaringan kerjasama komuniti.

YB Datuk Ts. Mustapha merakamkan penghargaan kepada warga Kolej Komuniti Kota Marudu dan semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program ini, sambil berharap usaha tersebut menjadi inspirasi untuk terus menyantuni komuniti luar bandar.

Turut hadir, Pengarah Bahagian Instruksional dan Pembelajaran JPPKK, Zaidi Othman mewakil Ketua Pengarah JPPKK; Timbalan Pengarah Bahagian Kolaborasi Industri dan Komuniti JPPKK, Wan Marina Wan Mohd Nowalid; Pengarah Kolej Komuniti Kota Marudu, Liaw Yin Huat; pengarah-pengarah POLYCC Sabah serta wakil ADUN Tanjong Kapor Kudat, Ruslee Awang Jaya. 

  • Last updated on .
  • Hits: 10
MoHE Logo

Ministry of Higher Education Official Portal © All Rights Reserved

Last Modified: Monday 11 August 2025, 09:15:23.

sirim-logo