Semarak Kampus MADANI 2025 Terengganu Bermula Dengan In Person With Doc Zam Di UniSZA

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) meneruskan siri Program Semarak Kampus MADANI (SKM) 2025 di Negeri Terengganu pada 9 hingga 10 Ogos 2025 sebagai platform terbaik untuk pihak pengurusan Kementerian, Jabatan dan Agensi turun padang memahami denyut nadi kehidupan para pelajar di kampus.
YB Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir memulakan program tersebut di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) semalam menerusi sesi dialog interaktif In Person With Doc Zam yang dihadiri kira-kira 2,000 orang pelajar Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) seluruh Negeri Terengganu.
Beliau berkongsi detik ‘liberating moment’ iaitu saat menggenggam segulung ijazah pada tahun 1987, yang menjadi simbol pembebasan daripada kekangan hidup serta menegaskan kemerdekaan sebenar merangkumi kebebasan minda dan jiwa melalui ilmu pengetahuan.
Pengalaman membesar dalam serba kekurangan, katanya, telah membentuk ketabahan dan keazaman untuk menuntut ilmu sehingga ke peringkat tertinggi.
Sesi soal jawab bersama pelajar mengupas isu kos sara hidup, peluang berkarya, relevansi universiti dalam era digital, kawalan maklumat di media sosial, peranan mahasiswa dalam pembentukan dasar politik negara serta nilai kemerdekaan dan tanggungjawab sosial.
YB Menteri mengingatkan mahasiswa agar membina ketahanan diri terhadap pengaruh algoritma media sosial dan mengukuhkan jati diri melalui ilmu, etika serta kesedaran terhadap cabaran global termasuk penindasan rakyat Palestin di Gaza.
Majlis tersebut turut menyaksikan pelancaran Program Sambutan Bulan Kebangsaan Peringkat IPT 2025 sebagai simbol penghayatan semangat kemerdekaan dalam kalangan warga pendidikan tinggi.
Turut hadir, Ketua Setiausaha KPT, Datuk Dr. Anesee Ibrahim; Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Prof. Datuk Dr. Azlinda Azman; Naib Canselor UniSZA, Prof. Datuk Dr. Fadzli Adam; Naib Canselor Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof. Ir. Ts. Dr. Mohd Zamri Ibrahim; Naib Canselor Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Prof. Ir. Ts. Dr. Arham Abdullah serta pengurusan tertinggi KPT.
- Last updated on .
- Hits: 8