TELAAH Buku 'Empire Of Ideas', Buka Hari Ke-2 Semarak Kampus MADANI 2025 Terengganu

Masih di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), hari kedua Semarak Kampus MADANI 2025 Terengganu dimulakan dengan siri audio siar bedah buku, TELAAH oleh Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir bersama pelajar, pensyarah dan kakitangan universiti.
Beliau bersama hos, Sayed Munawar Sayed Mustar, mengupas kandungan buku 'Empire of Ideas: Creating the Modern University from Germany to America to China' karya William C. Kirby yang menelusuri evolusi universiti moden daripada model Humboldt di Jerman kepada dominasi Amerika serta kebangkitan China yang menggabungkan kekuatan Barat dengan aspirasi sendiri untuk memimpin pendidikan tinggi abad ke-21.
Sejurus selesai solat Subuh berjemaah, YB Menteri dan delegasi Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bersama warga UniSZA mengadakan aktiviti berjalan laju ('brisk walking') mengelilingi kampus sebelum menuju ke stadium bagi menyertai senam robik dalam program Sihat KPT.
Semasa aktiviti tersebut, YB Menteri yang diiringi Naib Canselor UniSZA, Prof. Datuk Dr. Fadzli Adam, turut meninjau beberapa projek pembangunan yang telah siap dan sedang dilaksanakan di kampus.
Dalam kesempatan itu, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry turut meluangkan masa beramah mesra dengan warga UniSZA yang hadir, sekali gus mengeratkan hubungan antara Kementerian dan komuniti kampus.
Turut hadir, Ketua Setiausaha KPT, Datuk Dr. Anesee Ibrahim; Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Prof. Dr. Azlinda Azman; serta Ketua Pengarah Politeknik dan Kolej Komuniti, Dato’ Dr. Haji Mohd Zahari Ismail.
Seterusnya, YB Menteri akan ke Pulau Bidong yang merupakan pulau kajian Universiti Malaysia Terengganu (UMT) bagi melihat sendiri pelaksanaan projek penyelidikan serta pencapaian yang telah direkodkan di kawasan tersebut.
- Last updated on .
- Hits: 8