SEMARAK KAMPUS MADANI 2025 TERENGGANU KE PULAU BIDONG, LAWAT PUSAT PENYELIDIKAN MARIN SEMULA JADI UMT

Setibanya di Jeti Duyong Marina Resort, Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir meninjau Pameran Pusat Latihan Pelayaran Universiti Malaysia Terengganu (UMT) yang memaparkan aspek latihan pelayaran dan kemudahan teknikal berkaitan serta turut melawat kemudahan UMT-Community Sailing Club House yang digunakan bagi melatih pelajar dan komuniti dalam aktiviti pelayaran.
YB Menteri singgah di situ bagi meneruskan pengisian Semarak Kampus MADANI 2025 Terengganu ke lokasi seterusnya iaitu Pulau Bidong yang terletak kira-kira 45 minit perjalanan menaiki bot dari jeti.
Pulau Bidong, pernah menjadi penempatan sementara pelarian Vietnam pada 1978 hingga awal 1990-an sebelum diwartakan pada 2009 sebagai Pusat Penyelidikan UMT yang berperanan sebagai makmal semula jadi bagi kajian maritim, biodiversiti dan arkeologi marin.
Pusat Penyelidikan Pulau Bidong menjadi lokasi kerja lapangan pelbagai disiplin termasuk kajian terumbu karang, pemantauan ekosistem laut, ekskavasi artifak marin, kajian hidupan plankton dan pemetaan geologi pantai, di samping menjadi pusat latihan kepada pelajar, penyelidik tempatan dan antarabangsa serta pusat pemuliharaan sumber marin.
Ketibaan delegasi KPT disambut oleh pasukan penyelidik, sukarelawan serta para pelajar UMT yang melaksanakan aktiviti 'water confidence', keselamatan air, berkayak, 'snorkeling', gotong-royong serta sesi taklimat penyelidikan.
Lawatan tersebut turut memberi peluang kepada YB Menteri untuk meninjau pelaksanaan projek penyelidikan di Pulau Bidong dan melihat secara langsung pencapaian UMT dalam memartabatkan penyelidikan marin negara, sekali gus menyokong usaha pemerkasaan ekonomi biru yang telah digariskan oleh YAB Perdana Menteri dalam Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK-13).
Turut sama, Ketua Setiausaha KPT, Datuk Dr. Anesee Ibrahim; Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Prof. Dr. Azlinda Azman; Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Dato’ Dr. Haji Mohd Zahari Ismail; serta Naib Canselor UMT, Prof. Ir. Ts. Dr. Mohd Zamri Ibrahim.
- Last updated on .
- Hits: 6