Kota Marudu Jadi Tumpuan Jelajah Pendidikan Tinggi KPT Siri 4

Program Jelajah Pendidikan Tinggi Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) Siri Keempat meneruskan misinya memperkasa komuniti luar bandar dengan penganjuran di Sekolah Kebangsaan Panaitan, Kota Marudu yang dirasmikan oleh Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, YB Datuk Ts. Mustapha Sakmud, hari ini.
Program ini merupakan kesinambungan usaha KPT dalam membuka akses pendidikan tinggi kepada masyarakat setempat, khususnya melalui Politeknik, Kolej Komuniti dan Institusi Pendidikan Tinggi lain, di samping pemindahan ilmu bagi meningkatkan kemahiran dan taraf hidup penduduk.
Menurut YB Datuk Ts. Mustapha, siri jelajah ini menjadi wadah mendekatkan masyarakat dengan pelbagai peluang pengajian, terutama di Kolej Komuniti Kota Marudu yang menawarkan Sijil Penyelenggaraan Bangunan dan Sijil Teknologi Penyejukan dan Penyamanan Udara, serta kursus pembelajaran sepanjang hayat yang terbuka kepada semua peringkat umur.
Beliau menegaskan bahawa Kolej Komuniti bukanlah pilihan terakhir, sebaliknya merupakan pintu masuk penting untuk melangkah ke peringkat diploma dan ijazah di universiti awam. “Tidak kira di mana kita bermula, yang penting di mana kita berakhir,” katanya sambil berkongsi kisah kejayaan graduan Kolej Komuniti yang kini bergelar usahawan dan profesional.
Program kali ini turut menawarkan pelbagai kursus kemahiran jangka pendek seperti penghasilan produk sejuk beku berasaskan ikan (bebola ikan), asas gubahan bunga, asas gunting rambut perempuan dan asas aplikasi telefon pintar. Kemahiran ini katanya bukan sahaja berpotensi menjana pendapatan sampingan, malah boleh dipasarkan secara kreatif melalui media sosial seperti 'food review' yang terbukti memberi pulangan lumayan.
Dalam ucapannya, beliau turut berkongsi panduan tatacara permohonan UPU, pemilihan kursus berpotensi tinggi dari segi kebolehpasaran, serta pelbagai inisiatif kerajaan bagi membantu keluarga B40. Antaranya termasuk wang pendahuluan pinjaman PTPTN berjumlah RM1,500 untuk meringankan beban pendaftaran di universiti.
Beliau turut memaklumkan bahawa bayaran pendaftaran universiti awam juga boleh ditangguhkan selaras keputusan Kabinet yang membolehkan pelajar mendaftar terlebih dahulu sebelum membuat pembayaran. Langkah ini diyakini akan memberi peluang lebih ramai pelajar luar bandar melanjutkan pengajian tanpa kekangan kewangan.
YB Timbalan Menteri menyeru ibu bapa agar sentiasa memberi dorongan kepada anak-anak untuk melanjutkan pelajaran sama ada di universiti, Politeknik atau Kolej Komuniti. “Ruang dan peluang ini tidak harus disia-siakan kerana ia adalah pelaburan masa depan,” tegasnya.
Dalam pada itu, sempena Bulan Kebangsaan dan Hari Malaysia, beliau turut mengajak masyarakat menjiwai semangat kemerdekaan serta memelihara keharmonian kaum yang menjadi kekuatan utama Sabah. Katanya, Sabah dan Sarawak adalah tonggak penting dalam pembentukan Malaysia pada 16 September 1963.
Program Jelajah Pendidikan Tinggi Siri Keempat ini dianjurkan oleh KPT melalui Jabatan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) dengan penyelarasan oleh Kolej Komuniti Kota Marudu, sebagai bukti komitmen kerajaan MADANI untuk memastikan pendidikan berkualiti dapat diakses sehingga ke pelusuk negara.
- Last updated on .
- Hits: 16