Semarak Kampus MADANI 2025 Terengganu Di UMT, YB Menteri Rasmi Kompleks Akademia Dan Lawat Projek Tebatan Banjir

Seusai ke Pulau Bidong, Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir meneruskan program Semarak Kampus MADANI 2025 Terengganu di kampus utama Universiti Malaysia Terengganu.
Ketibaan beliau telah disambut pengurusan universiti sebelum membuat penampilan khas untuk rakaman sulung program audio siar "Jiwa Siswa, Jiwa Merdeka" yang dihoskan oleh Setiausaha Agung Majlis Perwakilan (MPP) Pelajar UMT, Muhammad Zaki Anuar dan Exco Kesukarelawanan dan Kepimpinan MPP UMT, Muhammad Afiq Naqiuddin Mohd Afizal.
Sesi tersebut membincangkan seputar perihal aspirasi mahasiswa, kepimpinan belia dan penghayatan semangat kemerdekaan dalam kehidupan kampus.
YB Menteri kemudiannya merasmikan Kompleks Akademia yang dibangunkan bagi mengatasi kekangan ruang penempatan pensyarah sejajar dengan pertambahan tenaga akademik UMT.
Kompleks bernilai RM15 juta yang dibina bermula 12 Disember 2022 dan siap pada 20 Julai 2025 ini menempatkan 163 bilik pensyarah selain bilik perbincangan dan surau.
Bangunan tersebut dibangunkan di tanah tebus guna dengan penerapan ciri kelestarian termasuk pencahayaan semula jadi melalui bumbung 'sky light', pengudaraan koridor, sistem tadahan hujan, lampu sensor pergerakan dan solar, penyaman udara inverter, sistem kad akses dan pemasangan lampu LED sepenuhnya.
Beliau turut meninjau Projek Sistem Tebatan Banjir dan Sistem Pencegahan Hakisan Pantai UMT yang bertujuan melindungi infrastruktur dan kawasan pesisir universiti daripada risiko banjir serta hakisan laut.
Komponen projek merangkumi pembinaan benteng pencegahan hakisan di laluan keluar air ke laut, pembinaan 'flood wall' di Alur Gelam, baik pulih laluan premix di Culvert 2, naik taraf sistem saliran berhampiran Perpustakaan Sultanah Nur Zahirah, pembinaan 'earth bund', kemudahan 'boat mooring', kemudahan sukan pantai dan makmal tenaga boleh diperbaharui.
Pada sesi seterusnya, YB Menteri melancarkan Rumah Rezeki UMT di Kompleks Siswa sebagai pusat pelaksanaan bantuan makanan percuma dan sumbangan keperluan asas kepada pelajar yang memerlukan.
Turut hadir Ketua Setiausaha KPT, Datuk Dr. Anesee Ibrahim, Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Tinggi, Datuk Prof. Dr. Azlinda Azman, Naib Canselor UMT Prof. Ir. Ts. Dr. Mohd Zamri Ibrahim, serta barisan pengurusan tertinggi KPT dan UMT.
- Last updated on .
- Hits: 14