Dapur Unisiswa UniSZA Dan Rumah Rezeki UMT, Inisiatif Prihatin KPT Bantu Pelajar Kurang Berkemampuan

Dapur Unisiswa UniSZA Dan Rumah Rezeki UMT, Inisiatif Prihatin KPT Bantu Pelajar Kurang Berkemampuan
English translation not available for this content.

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) tekal mengangkat agenda kebajikan pelajar Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) melalui pelaksanaan inisiatif makanan percuma dan bantuan keperluan asas bagi memastikan tiada pelajar yang terpinggir daripada akses makanan berkhasiat.

Dua (2) inisiatif prihatin telah diluncurkan sempena Program Semarak Kampus MADANI 2025 Terengganu iaitu Dapur UniSiswa di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dan Rumah Rezeki di Universiti Malaysia Terengganu (UMT).

Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir berkata, usaha ini sejajar dengan komitmen kementerian untuk menangani cabaran kos sara hidup yang memberi kesan langsung kepada pelajar, khususnya daripada keluarga berpendapatan rendah (B40).

Dapur UniSiswa UniSZA berperanan menyediakan hidangan siap dimasak kepada pelajar secara percuma, dilaksanakan dengan kerjasama warga kampus melalui aktiviti gotong royong memasak dan pengurusan dapur oleh sukarelawan pelajar.

Manakala Rumah Rezeki UMT menjadi pusat edaran makanan dan barangan asas secara percuma kepada pelajar yang memerlukan, selain berperanan sebagai medan pembelajaran pengurusan logistik, inventori dan operasi harian bagi sukarelawan pelajar di samping memupuk budaya berkongsi rezeki dalam komuniti kampus.

Modal serta sumbangan bagi pengoperasian kedua-dua inisiatif ini disokong oleh dana dari KPT melalui Yayasan Perkasa Siswa (YPS), pihak universiti masing-masing, persatuan pelajar dan alumni, agensi kerajaan persekutuan juga negeri, serta entiti swasta.

“Idea Dapur Siswa dan Rumah Rezeki ini ditubuhkan bagi memastikan bahawa setiap hari kita dapat menyediakan makanan atau bahan makanan kepada pelajar-pelajar kita yang mungkin mempunyai kesulitan kewangan,” katanya.

YB Menteri juga mencadangkan agar IPT Swasta turut sama melaksanakan inisiatif ini bagi membantu pelajar, termasuk pelajar antarabangsa yang berdepan kesulitan tertentu.

Turut hadir Ketua Setiausaha KPT, Datuk Dr. Anesee Ibrahim; Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Prof. Dr. Azlinda Azman; Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Dato' Dr. Haji Mohd Zahari Ismail; Naib Canselor UniSZA, Prof. Datuk Dr. Fadzli Adam; Naib Canselor UMT, Prof. Ir. Ts. Dr. Mohd Zamri Ibrahim; serta pengurusan tertinggi KPT. 

  • Last updated on .
  • Hits: 17
MoHE Logo

Ministry of Higher Education Official Portal © All Rights Reserved

Last Modified: Monday 11 August 2025, 09:15:23.

sirim-logo