UPNM Julang Piala Menteri Pengajian Tinggi 2019/2020
Usai pertemuan dengan duta asing petang semalam, YB Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad terus ke Bangi untuk menyaksikan perlawanan akhir kedua Piala Menteri Pengajian Tinggi 2019/2020 di Stadium Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Dalam pertembungan tersebut, UPNM muncul juara untuk pertama kalinya setelah menang secara agregat 3-0 hasil permainan mantap menundukkan pasukan tuan rumah yang juga juara 3 kali kejohanan dengan jaringan 2-0.
Sorakan para penyokong kedua-dua pasukan telah menggamatkan lagi perlawanan serta menjadi pembakar semangat para pemain untuk beraksi di pentas akhir ini setelah kejohanan tersebut tiga kali tertangguh akibat pandemik COVID-19.
YB Menteri telah menyampaikan piala kejohanan dan iringan, medal serta wang tunai berjumlah RM 10,000 kepada pasukan UPNM, naib juara UKM pula membawa pulang medal dan wang tunai RM7,000, manakala UniSZA yang menduduki tempat ketiga turut membawa medal serta wang tunai RM5,000.
UPNM turut menyapu bersih dua anugerah iaitu Penjaring Terbanyak Kejohanan yang dimenangi oleh Muhammad Hadi Mohamad dengan 7 gol, dan Pemain Terbaik Perlawanan Akhir telah diberikan kepada Thienesvarman a/l Gnanasegaran.
Pada kali ini sebanyak 12 buah pasukan IPT awam dan swasta telah menyertai kejohanan berprestij kelolaan Bahagian Sukan IPT KPT yang telah mula dianjurkan semenjak tahun 2011.
Turut menyaksikan Dato' Seri Abdul Razak Jaafar, KSU KPT, Dato' Dr. Megat Sany Megat Ahmad Supian, TKSU (Dasar) KPT, Dr. Mohd Zabri Yusoff, TKSU (Pengurusan dan Pembangunan) KPT, Prof. Dato' Dr. Husaini Omar, KPPT, Dato' Shaharudin Abu Sohot, Setiausaha Bahagian, Bahagian Perancangan dan Dasar Strategik KPT, Dr. Pekan Ramli, Timbalan Setiausaha Bahagian, Seksyen Sukan, KPT, serta Naib Canselor UPNM, UKM dan UniSZA.
- Last updated on .
- Hits: 5620