UM Anugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Sains Politik Kepada Tokoh Utama Dunia Islam, Dr. Al Issa

UM Anugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Sains Politik Kepada Tokoh Utama Dunia Islam, Dr. Al Issa
English translation not available for this content.

Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir telah mengiringi Perdana Menteri, YAB Dato' Seri Anwar Ibrahim ke Istiadat Konvokesyen Khas Universiti Malaya (UM) bersempena penganugerahan Ijazah Kehormat Doktor Sains Politik kepada TYT Sheikh Dr. Mohammad bin Abdullah Al-Issa yang telah disampaikan oleh Pro-Canselor UM, Toh Puan Dato' Seri Hajah Dr. Aishah Ong.

Dalam pidato penganugerahannya, Naib Canselor UM, Prof. Dato' Seri Ir. Dr. Noor Azuan Abu Osman berkata penganugerahan kepada TYT Dr. Mohammad bin Abdulkarim Al-Issa bagi mengenang sumbangan beliau sebagai seorang tokoh utama Dunia Islam yang sangat komited mempromosikan kesedaran intelektual dan nilai keagamaan dalam kalangan masyarakat minoriti Islam dan telah memberi sumbangan yang sangat besar untuk menyebarkan nilai-nilai keadilan, toleransi, dan keamanan dunia.

“Sebagai Setiausaha Agung The Muslim World League dan Pengerusi Centre for Responsible Leadership, beliau menggunakan amanah yang diberikan untuk menjadi suara global terkemuka Islam moderat, komited untuk memberi kesedaran kepada masyarakat. Sebagai Setiausaha Agung Muslim World League, Dr. Al-Issa telah mengembara ke seluruh Amerika Syarikat, Eropah, Afrika dan Asia untuk bertemu dengan tokoh-tokoh ternama dan ahli-ahli Parlimen dari bidang keadilan, undang-undang dan hak asasi manusia serta pemimpin agama dan komuniti terkemuka.

“Dr. Al-Issa juga mengetuai Intellectual Warfare Center, iaitu sebuah badan yang berafiliasi dengan Kementerian Pertahanan Arab Saudi. Melalui badan ini, beliau memainkan peranan penting dalam memerangi ideologi ekstremis dan keganasan. Peranan ini seiring dengan tanggungjawab beliau sebagai Setiausaha Agung Muslim World League yang mewakili umat Islam di seluruh dunia untuk membina perkongsian baharu dalam kalangan pelbagai komuniti, kepercayaan dan negara.

“Kehebatan dan kecekapan beliau dalam melaksanakan tanggungjawab yang diamanah terlihat pada kepemimpinan dan inisiatifnya memerangi anti-Semitisme, Islamophobia, dan ujaran kebencian (hate speech) di seluruh dunia. Tanpa penglibatan beliau yang sentiasa bersedia mendepani segala cabaran, menjadi perantara antara agama dan penghapus persepsi negatif, persepsi tentang Islam dan Dunia Islam mungkin agak sukar untuk diubah,” katanya.

Hadir sama Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Ts. Mustapha Sakmud; serta Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi, Dato' Seri Ir. Dr. Zaini Ujang. 

  • Last updated on .
  • Hits: 507
MoHE Logo

Ministry of Higher Education Official Portal © All Rights Reserved

Last Modified: Friday 19 July 2024, 10:52:23.