KPT Meterai MoU Dengan MIDA Sasar Letakkan Malaysia 30 Ekonomi Besar Dunia

KPT Meterai MoU Dengan MIDA Sasar Letakkan Malaysia 30 Ekonomi Besar Dunia
English translation not available for this content.

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) melalui Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT) dan Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) bagi merealisasikan agenda meletakkan Malaysia dalam kalangan 30 ekonomi terbesar dunia berkaitan penciptaan graduan dan bakat mahir menjelang tahun 2033.

Selain itu, turut diadakan sesi pertukaran MoU berasaskan pembangunan tenaga kerja mahir antara KPT dengan tiga syarikat terkemuka yang terlibat dalam industri teknologi tinggi iaitu Micron Memory Malaysia Sdn. Bhd, Stellantis Gurun (Malaysia) Sdn. Bhd. dan Inari Technology Sdn. Bhd.

Kerjasama ini adalah usaha berterusan pihak KPT dan MIDA dalam merancakkan kolaborasi antara sektor akademik dan industri bagi meningkatkan kebolehpasaran graduan dan daya saing industri Malaysia.

Kesemua pemeteraian MoU petang tadi telah disaksikan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, YB Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Pada majlis yang sama, sesi peluncuran portal MoHE Research and Industry-Infused Incubator (MRI3) yang dibangunkan hasil kerjasama antara Konsortium Elektrik dan Elektronik Universiti Malaysia (CEE) merangkumi 19 buah universiti awam bersama 27 syarikat turut disempurnakan.

Portal MRI3 dibina bagi membangunkan bakat dengan pengetahuan dan kemahiran bertepatan sesuai keperluan industri elektrik dan elektronik (E&E).

Kedua-dua inisiatif ini merupakan sebahagian usaha bagi menangani isu ketidakpadanan antara kemahiran yang dimiliki oleh tenaga kerja yang dijana dan keperluan industri, serta membantu memastikan jaminan pekerjaan dan kebolehpasaran graduan dengan gaji yang lebih baik.

Melalui usaha ini, MIDA dan KPT akan terus memperkukuhkan kerjasama bagi memenuhi permintaan tenaga kerja mahir yang diperlukan oleh pihak industri.

Semoga dengan wujudnya kerjasama ini dapat mengukuhkan lagi matlamat agenda nasional negara bagi meningkatkan daya saing Malaysia secara global selain mampu mewujudkan sebuah ekosistem yang dinamik untuk mencungkil bakat tempatan serta mendorong pembangunan sosio-ekonomi bagi memacu pertumbuhan industri negara. 

  • Last updated on .
  • Hits: 544
MoHE Logo

Ministry of Higher Education Official Portal © All Rights Reserved

Last Modified: Friday 19 July 2024, 10:52:23.