TYT Sabah Sempurnakan Sidang Pertama Konvokesyen UMS Ke-27

TYT Sabah Sempurnakan Sidang Pertama Konvokesyen UMS Ke-27
English translation not available for this content.

Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Sabah (UMS) Ke-27 Tahun 2025 membuka tirainya hari ini dengan penuh istiadat di Dewan Canselor UMS, Kota Kinabalu.

Penganjuran selama tiga (3) hari ini merangkumi enam sidang yang dijadualkan berlangsung pada 28 November, 30 November dan 1 Disember 2025.

Sidang Pertama dimulakan dengan penuh adat keilmuan, termasuk Pengisytiharan Pelantikan Canselor UMS sebelum pembukaan rasmi majlis diumumkan. Istiadat seterusnya diteruskan dengan penganugerahan ijazah serta penyampaian anugerah kecemerlangan kepada para graduan.

Sidang bersejarah ini turut menyaksikan penganugerahan skrol disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri Sabah merangkap Canselor UMS, Tuan Yang Terutama (TYT) Tun Datuk Seri Panglima (Dr.) Musa Haji Aman.

Bagi Sidang Kedua, penyampaian skrol dilaksanakan oleh Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor. Sementara itu, bagi Sidang Ketiga hingga Keenam yang berlangsung pada Ahad dan Isnin, penyampaian skrol akan disampaikan oleh Pro-Canselor UMS, Tan Sri Azman Hashim.

Konvokesyen UMS Ke-27 pada tahun ini menyaksikan seramai 3,807 graduan menerima ijazah dan diploma meliputi pelbagai disiplin ilmu. Daripada jumlah tersebut, 193 graduan menerima Ijazah Doktor Falsafah, 295 menerima Ijazah Sarjana, 172 menerima Diploma Pasca, 3,098 menerima Ijazah Sarjana Muda dan 49 menerima Diploma. Majlis turut meraikan 288 graduan yang berjaya menamatkan pengajian dengan Kelas Pertama.

Terdahulu, Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir dalam ucapannya memaklumkan mengenai Perisytiharan Pelantikan Canselor UMS yang telah disempurnakan pada 2 November 2025 di Istana Seri Kinabalu. Beliau merakamkan ucapan tahniah kepada TYT atas pelantikan tersebut.

Dalam ucapannya jua, beliau menegaskan bahawa pelantikan TYT sebagai Canselor UMS memberi makna besar kepada universiti dalam memperkukuh agenda kecemerlangan pendidikan tinggi, penyelidikan dan pembangunan bakat anak watan.

KPT merakamkan penghargaan kepada pihak pengurusan universiti, para pensyarah, kakitangan serta ibu bapa dan waris yang menjadi penyokong utama kejayaan para graduan.

Turut hadir, Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, Datuk Seri Panglima Abdul Rahman Dahlan; Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor; Ahli-ahli Lembaga Pengarah UMS; Ahli-ahli Senat; barisan Dekan; dan para pensyarah serta kakitangan UMS. 

  • Last updated on .
  • Hits: 540
MoHE Logo

Ministry of Higher Education Official Portal © All Rights Reserved

Last Modified: Saturday 13 December 2025, 00:02:22.

sirim-logo