KPT Santuni Komuniti Kg. Sayong Hulu Menerusi Program Santuni MADANI KSU 2025
Penerapan nilai-nilai murni dan pengukuhan hubungan antara pemimpin serta masyarakat terus diberi penekanan oleh kerajaan dalam usaha membentuk komuniti yang harmoni, inklusif dan saling menghormati.
Sejajar dengan hasrat tersebut, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) telah melaksanakan Program Santuni MADANI Ketua Setiausaha (KSU) KPT Tahun 2025 bagi menyantuni penduduk Kampung Sayong Hulu, Kuala Kangsar pada pagi tadi.
Program berbentuk turun padang ini menghimpunkan kira-kira 200 warga KPT yang terdiri daripada pegawai kanan, kakitangan, tenaga pengajar serta para pelajar dari Politeknik dan Kolej Komuniti (POLYCC) Zon Perak dan UiTM Cawangan Perak yang tampil sebagai sukarelawan.
Penganjuran program turut mendapat kerjasama erat Pejabat Tanah dan Daerah Kuala Kangsar (PTDKK), Majlis Perbandaran Kuala Kangsar (MPKK) dan Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Kangsar, sekali gus memperkukuh penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat setempat.
Aktiviti tanggungjawab sosial (CSR) oleh POLYCC Zon Perak memberi impak besar kepada penduduk apabila kerja-kerja membaik pulih pendawaian elektrik serta pemasangan lampu tenaga solar di Surau Al-Falahiah berjaya diselesaikan dengan baik.
POLYCC Zon Perak Perkhidmatan pertukaran minyak enjin motosikal secara percuma yang disediakan turut menerima sambutan menggalakkan dengan kira-kira 100 penduduk hadir untuk mendapatkan perkhidmatan tersebut.
Yayasan Perkasa Siswa (YPS) juga memainkan peranan penting dalam menjayakan Kenduri Rakyat yang diadakan bagi meraikan para sukarelawan daripada KPT dan komuniti kampung.
Aktiviti gotong-royong di tanah perkuburan dan kawasan persekitaran Kampung Sayong Hulu yang melibatkan sukarelawan UiTM Cawangan Perak bukan sahaja meningkatkan aspek kebersihan dan keselesaan, malah berjaya menyemai nilai insaf serta semangat kesukarelawanan dalam kalangan peserta.
Dalam program tersebut, YBhg. Datuk Dr. Anesee Ibrahim turut menyampaikan pek Sumbangan Kasih berupa keperluan asas yang disumbangkan oleh PTDKK dan MPKK kepada 10 orang penduduk yang memerlukan sebagai tanda keprihatinan terhadap kebajikan masyarakat.
KPT percaya bahawa inisiatif sebegini mampu mengukuhkan hubungan antara pembuat dasar dan masyarakat akar umbi serta menyokong agenda pembangunan negara yang lebih seimbang, mampan dan berteraskan nilai kemanusiaan.
Turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pembangunan) KPT, Datuk Ts. Dr. Mohd Nor Azman bin Hassan; Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Dr. Shamsuri bin Abdullah; Orang Besar Jajahan Kuala Kangsar, Dato’ Dr. Haji Khairil Anuar Arshad; Yang Dipertua MPKK, Dr. Sakduddin Zamli; Ketua Penolong Pegawai Daerah (Pembangunan) PTDKK, Dr. Kamarul Liza Haji Hashim; Rektor UiTM Cawangan Perak, Prof. Madya Dr. Nur Hisham Ibrahim; serta Ketua Kampung Sayong Hulu, Affandi Azmi.
- Last updated on .
- Hits: 607