Yang Di-Pertuan Agong Sempurnakan Istiadat Konvokesyen UPNM Kali Ke-15
KDYMM SPB Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan berangkat menyempurnakan Istiadat Konvokesyen ke-15 Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur, siang tadi.
Turut berangkat YAM Tunku Dr Kamariah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Sultan Iskandar, Tunku Puteri Johor.
Seri Paduka Baginda bertitah, graduan perlu meletakkan diri mereka sebagai pembina tamadun yang unggul dengan menggunakan ilmu yang diperolehi untuk kemajuan ummah serta berperanan menggalas tanggungjawab sebagai pemimpin muda negara.
Sultan Ibrahim turut bertitah, graduan diingatkan bahawa ilmu bukan sekadar untuk kemajuan diri sendiri namun lebih penting adalah bagaimana ia boleh digunakan untuk kebaikan semua.
“Ini kerana sejarah tamadun Islam membuktikan ilmu boleh membawa umat daripada kejahilan kepada cahaya kebenaran.
“Negara menaruh harapan agar graduan boleh menjadi pemimpin muda yang bukan sahaja cemerlang dalam bidang masing-masing, tetapi turut memiliki integriti serta dedikasi untuk berkhidmat kepada negara,” titah Yang di-Pertuan Agong.
Sultan Ibrahim yang juga Canselor UPNM, bertitah Istiadat Konvokesyen seperti ini bukan sahaja menandakan kejayaan akademik para graduan tetapi, ianya merupakan permulaan perjalanan dalam menyumbang kepada agama, bangsa dan negara.
Pada istiadat yang bertemakan ‘Graduan Berwawasan Pewaris Kedaulatan’, Seri Paduka Baginda berkenan mengurniakan penganugerahan kepada 30 graduan yang cemerlang dalam pengajian masing-masing.
Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir; Menteri Pertahanan, YB Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin; Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohd Nizam Jaffar dan Naib Canselor UPNM, Leftenan Jeneral Datuk Arman Rumaizi Ahmad turut hadir sama dalam istiadat ini.
- Last updated on .
- Hits: 420