RPTM 2026-2035: Empati Dan Inklusiviti Teras Utama Ekosistem Pendidikan Tinggi Negara

RPTM 2026-2035: Empati Dan Inklusiviti Teras Utama Ekosistem Pendidikan Tinggi Negara
English translation not available for this content.

14 September 2026 | Putrajaya

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) kini meletakkan elemen empati dan inklusiviti sebagai teras utama dalam Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026-2035 bagi mengemudi ekosistem pendidikan yang lebih menyeluruh.

Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir berkata pelan pembangunan itu menuntut warga Kementerian beralih daripada sekadar simpati kepada tahap empati yang mendalam dalam menterjemahkan dasar Kerajaan.

Tegasnya, sebarang polisi yang digubal tidak akan memberi impak berkesan sekiranya golongan pelaksana di peringkat Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) Awam dan Swasta gagal menjiwai sendiri kesukaran sebenar yang dihadapi oleh kumpulan sasar.

Pendekatan tersebut melakar sejarah tersendiri apabila komponen Kepelbagaian, Kesaksamaan dan Inklusiviti (DEI) secara rasminya dimuatkan dalam RPTM, serentak dengan langkah pemansuhan syarat tapisan permohonan Orang Kurang Upaya (OKU) ke IPT Awam.

Menyentuh penolakan pelajar cemerlang yang sering dijadikan polemik oleh pihak luar, beliau mengingatkan pengurusan IPT Awam agar terus membimbing potensi sebenar setiap calon mengikut ruang kapasiti yang rasional.

Pelaksanaan sistem meritokrasi yang telus sebenarnya telah berjaya menempatkan kesemua 13,602 pemohon berstatus purata nilai gred kumulatif (PNGK) 4.00 daripada pelbagai aliran di IPT Awam pada sesi akademik kali ini.

Sebagai jaminan akses pendidikan yang lebih luas, kerajaan turut melebarkan kapasiti penawaran dengan menyediakan 86,000 ruang belajar bagi lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan 80,000 tempat khusus untuk calon peperiksaan setaraf.

Sokongan berterusan ini juga membuahkan hasil apabila pendaftaran masuk ke Politeknik serta Kolej Komuniti (POLYCC) seluruh negara melonjak luar biasa kepada 114,911 pelajar bagi mencatatkan rekod kemasukan tertinggi dalam tempoh sedekad.

Dari aspek kelangsungan kewangan pula, kelompok rentan terus dilindungi menerusi penyediaan 17 program penajaan khas tanpa persaingan terbuka yang memberi manfaat kepada seramai 29,000 penuntut B40 bagi tahun ini.

YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry menggariskan perkara tersebut ketika merumuskan sesi wacana bertemakan 'Kemasukan Pelajar' sempena Perhimpunan Bulanan KPT edisi September 2026 di Dewan Za'ba KPT pagi tadi.

Turut hadir, Ketua Setiausaha KPT, Datuk Ts. Dr. Hj. Aminuddin Hashim; Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Ahmad Rizal Adnan; Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Prof. Dr. Azlinda Azman; serta Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Dr. Syamsuri Abdullah.

Terdahulu, majlis diserikan dengan sesi perkongsian mengenai kepentingan ekosistem sokongan mesra OKU yang disampaikan oleh Ketua Unit Perkhidmatan OKU Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof. Dr Ruzita Mohd Amin yang juga merupakan penerima Anugerah Tokoh Maulidur Rasul Kategori Tokoh Wanita MADANI Peringkat Kebangsaan 1448H/2026M pada bulan lalu atas sumbangannya membela hak golongan istimewa.

  • Last updated on .
  • Hits: 104
MoHE Logo

Ministry of Higher Education Official Portal © All Rights Reserved

Last Modified: Tuesday 15 September 2026, 10:40:33.

sirim-logo