POLYCC Diseru Terus Seiring Teknologi Baharu, Perkasa Kemahiran Graduan

POLYCC Diseru Terus Seiring Teknologi Baharu, Perkasa Kemahiran Graduan
English translation not available for this content.

14 September 2026 | Shah Alam, Selangor

Politeknik dan Kolej Komuniti (POLYCC) perlu bergerak seiring perkembangan teknologi baharu termasuk kecerdasan buatan (AI), di samping memberi penekanan kepada penguasaan kemahiran insaniah dan persijilan profesional bagi meningkatkan kebolehpasaran graduan.

Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir, berkata pendekatan pembelajaran berasaskan pertandingan dan permainan (gamifikasi) mampu memberi pengalaman pembelajaran yang membentuk kemahiran penyelesaian masalah, pembuatan keputusan serta kerja berpasukan dalam kalangan pelajar.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, YBrs. Dr. Shamsuri Abdullah, pada Majlis Perasmian POLYCC Agentic AI League Grand Finale 2026 di Pusat Dagangan Antarabangsa Selangor (Selangor International Trade Centre, SITC) di sini, petang tadi.

Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah Perancangan, Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) Haji Ulaimi Yahya; Pengarah Kanan Akademik, JPPKK, Dr. Haji Muhamad Daud Isa; Pengarah Bahagian Kurikulum, Hilmun Mohamad; serta Pengarah Bahagian Instruksional dan Pembelajaran Digital, Zaidi Osman; selain Pengarah Negara bagi Malaysia, Pakistan dan Brunei, Amazon Web Services (AWS), Hussein Muhammad Ali; Ketua Industri Kerajaan, AWS, Hafiz Hassan serta pasukan AWS.

Menurut YB Menteri, keperluan industri masa kini tidak hanya bergantung kepada kemahiran teknikal kerana majikan turut menilai keupayaan graduan dalam aspek seperti penyelesaian masalah kompleks, kerja berpasukan, komunikasi interpersonal, rundingan dan kepimpinan.

Sehubungan itu, beliau berkata POLYCC perlu mengangkat konsep pendidikan profesional dan teknikal (Professional and Technical Education – PTE) dengan memberi ruang kepada pelajar dan pensyarah menguasai teknologi baharu serta memperoleh persijilan profesional dan persijilan kompetensi sebagai pelengkap kepada kelayakan akademik.

Beliau turut menggalakkan pelajar memanfaatkan peluang menyertai program latihan intensif (bootcamp), bengkel dan persijilan berkaitan industri kerana kemahiran tambahan itu boleh memberikan nilai tambah kepada graduan ketika memasuki pasaran pekerjaan.

Dalam pada itu, POLYCC Agentic AI League 2026 menghimpunkan 3,118 orang peserta dari seluruh institusi Politeknik dan Kolej Komuniti Malaysia (POLYCC), dengan pertandingan berasaskan permainan itu menguji keupayaan peserta membangunkan ejen AI yang boleh merancang, membuat keputusan dan melaksanakan tindakan bagi menyelesaikan cabaran.

Penganjuran yang berlangsung sejak Julai hingga 31 Ogos itu turut mencatat sejarah apabila diiktiraf Malaysia Book of Records (MBOR) bagi kategori Penyertaan Terbesar dalam Pertandingan AI Agentik (The Largest Participation in an Agentic AI Competition), sebelum enam (6) pasukan terbaik berentap pada peringkat kemuncak (Grand Finale) .

Pada majlis sama, POLYCC AI Buddy dilancarkan sebagai pembantu kecerdasan buatan (AI Buddy) khusus bagi membantu pensyarah menghasilkan bahan pengajaran, pembelajaran dan pentaksiran dengan lebih mudah tanpa memerlukan pembinaan arahan (prompt) yang kompleks.

Pertandingan itu menyaksikan Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin (PTSS) muncul juara, diikuti Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin (PSMZA) sebagai naib juara dan Politeknik Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah (POLIMAS) di tempat ketiga, manakala POLYCC kini merekodkan 114,000 pelajar, jumlah tertinggi dalam tempoh 10 tahun.

  • Last updated on .
  • Hits: 100
MoHE Logo

Ministry of Higher Education Official Portal © All Rights Reserved

Last Modified: Tuesday 15 September 2026, 10:40:33.

sirim-logo