YB Menteri Pendidikan Tinggi: Akademik, Sahsiah Dan Potensi Bentuk Kemenjadian Pelajar

13 September 2026 | Sintok, Kedah
Pendidikan tidak seharusnya dilihat semata-mata berdasarkan pencapaian akademik sebaliknya perlu membentuk pelajar yang mengenali kekuatan dan kelemahan diri, mempunyai disiplin serta mampu menentukan hala tuju kehidupan, kata Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir.
Beliau berkata pelajar perlu berani bertanya kepada diri sendiri “Siapa Saya?” bagi mengenal pasti kelebihan, kelemahan dan cita-cita sebelum membuat keputusan berkaitan pengajian serta kerjaya.
Menurutnya, mengenal pasti kelemahan bukan bermaksud menerimanya sebagai sesuatu yang tidak boleh diubah, sebaliknya menjadi titik permulaan untuk pelajar berusaha memperbaiki diri dan membina potensi masing-masing.
“Belajar itu menjadi pembuka kepada kehidupan,” katanya sambil menekankan kepentingan disiplin belajar, membaca, kesungguhan untuk berjaya serta mempunyai impian tanpa membandingkan diri dengan pencapaian orang lain.
Dalam pada itu, beliau berkata pencapaian akademik yang baik perlu disertai penglibatan kokurikulum, kemahiran komunikasi dan ciri kepimpinan kerana penilaian kemasukan ke institusi pendidikan tinggi mengambil kira keseluruhan potensi seseorang pelajar.
YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry berkata matlamat pendidikan adalah melahirkan insan yang mempunyai kemenjadian menyeluruh, termasuk keupayaan berkomunikasi, bersosial, memimpin dan membina karakter yang baik, bukan sekadar memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan.
Beliau turut mengingatkan pelajar supaya tidak terlalu terikat kepada satu bidang atau universiti tertentu kerana pendedahan kepada pelbagai pilihan boleh membantu mereka menemukan bidang yang lebih sesuai dengan minat dan kebolehan masing-masing.
Sehubungan itu, beliau menggalakkan pelajar memanfaatkan program seperti Jom Masuk U serta mendapatkan pandangan guru ketika memilih kursus kerana bimbingan guru dapat membantu mereka menilai pilihan berdasarkan keputusan, minat dan kesesuaian diri.
Beliau berkata pendedahan secara langsung kepada kehidupan universiti seperti yang dilalui peserta Program Inspirasi Versiti UUM Generasi Bitara Madani Kedah-Perak 2026 memberi peluang kepada pelajar Tingkatan 4 hingga 6 mengenali dunia pendidikan tinggi, kehidupan kampus, kepimpinan, kerjaya serta bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM).
YB Menteri berkata demikian ketika sesi Bicara Santai Bersama Doc Zam sempena Program Inspirasi Versiti UUM Generasi Bitara Madani Kedah-Perak 2026 di Dewan Tan Sri Othman, Universiti Utara Malaysia (UUM), di sini hari ini, sebelum menyempurnakan Majlis Penutupan program yang turut diserikan dengan gimik penutupan dan penyampaian cenderamata.
Turut hadir Naib Canselor UUM, Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed; Ahli Lembaga Pengarah UUM, Dato’ Muhammad Hizri Abu Kasim; Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UUM, Prof. Madya Dr. Bakti Hasan Basri; Pengerusi Majlis Presiden Jawatankuasa Kepimpinan dan Pemimpin Siswa/Siswi Sesi 2025/2026, Muhammad Taqiyuddin Mat Razali; serta para pengetua dan guru sekolah dari Kedah dan Perak.
- Last updated on .
- Hits: 58
