Raja Permaisuri Agong Berangkat Melawat Pameran Imersif Inovasi Sarjana Muslim Festival Idea Putrajaya 2025
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah berkenan bercemar duli melawat Pameran Imersif Inovasi Sarjana Muslim di Festival Idea Putrajaya (Putrajaya FOI) 2025 pagi tadi.
Lawatan baginda mencerminkan iltizam tinggi KDYMM Seri Paduka Baginda dalam mendukung usaha memperkasa budaya ilmu, penyelidikan dan inovasi dalam sektor pendidikan tinggi negara.
Dalam lawatan tadi, KDYMM Seri Paduka Baginda meluangkan masa meneliti Pameran Imersif Inovasi Sarjana Muslim, diinspirasikan karya terkenal '1001 Inventions: The Enduring Legacy of Muslim Civilisation' yang menghimpunkan kisah-kisah keagungan para sarjana Islam terhadap perkembangan ilmu pengetahuan, sains dan teknologi dunia.
Pameran tersebut dijayakan dibawah kluster MyIdeasConnect oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) melalui Jabatan Pendidikan Tinggi, dengan kerjasama Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM).
Diiringi Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, YB Datuk Ts. Mustapha Sakmud, KDYMM SPB dapat melihat sendiri penghargaan ke atas warisan keilmuan Islam serta mengambil inspirasi daripada pencapaian cemerlang para sarjana Muslim dalam membina kemajuan dan peradaban manusia sejagat.
Menampilkan sumbangan ilmuwan Islam dalam pelbagai bidang seperti matematik, astronomi, perubatan, kimia, kejuruteraan dan budaya, pameran ini menonjolkan hubungan antara inovasi sains dan pembinaan masyarakat berperadaban, sekali gus membuktikan bagaimana penemuan besar masa silam menjadi asas kemajuan tamadun moden hari ini.
Semalam, KDYMM Seri Paduka Baginda telah berkenan menyempurnakan Majlis Perasmian Putrajaya FOI 2025 serta menyampaikan Titah Diraja yang menegaskan kepentingan merakyatkan ilmu, memperkukuh ekosistem inovasi dan memperkasa peranan Putrajaya sebagai pusat rujukan global bagi wacana intelektual.
Putrajaya FOI 2025 merupakan platform nasional yang menghimpunkan wacana ilmu, pameran penyelidikan dan program komuniti berskala besar, selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI untuk memperkukuh budaya ilmu dan kreativiti negara.
Hadir sama Ketua Setiausaha KPT, Datuk Dr. Anesee Ibrahim; Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Prof. Datuk Dr. Azlinda Azman; Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Dr. Shamsuri Abdullah.
- Last updated on .
- Hits: 707