Perdana Menteri Rasmi Penutup Putrajaya FOI 2025, Seru Golongan Muda Jana Idea Demi Kesejahteraan Negara

Perdana Menteri Rasmi Penutup Putrajaya FOI 2025, Seru Golongan Muda Jana Idea Demi Kesejahteraan Negara
English translation not available for this content.

Percambahan idea dalam kalangan masyarakat, khususnya golongan muda, mestilah berupaya membebaskan mereka daripada pemikiran jumud dan penjajahan akal budi.

Perdana Menteri, YAB Dato' Seri Anwar Ibrahim berkata demikian ketika menyampaikan Bicara Idea Negara dan menyempurnakan Majlis Penutup Festival Idea Putrajaya 2025 (FOI 2025) anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) petang tadi.

Beliau menegaskan bahawa erti pendidikan bukan sekadar menimba ilmu, tetapi menjana idea sebagai pendorong kehidupan untuk memberi sumbangan kepada masyarakat, negara, dan kemanusiaan.

Menurut YAB Dato' Seri Anwar Ibrahim, idea mesti berakar di bumi dengan paksi keyakinan dan akhlak yang kukuh, walaupun dalam era perubahan teknologi yang pantas.

Malah, YAB Perdana Menteri menyeru generasi muda untuk berani menegakkan kebenaran dan keadilan serta menolak sebarang unsur rasuah dan ketidakadilan.

Beliau turut menyentuh kepentingan 'memanusiawikan teknologi' agar kemajuan seperti AI sentiasa berlandaskan nilai dan etika.

Terdahulu, Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir dalam ucapan alu-aluannya menyatakan bahawa Putrajaya FOI 2025 adalah cetusan daripada idea YAB Perdana Menteri sendiri.

Beliau menyifatkan festival selama lima (5) hari itu sebagai sebuah 'taman ilmu' yang telah berjaya menjadi gerakan nasional, dengan merekodkan kehadiran lebih 300,000 orang pengunjung merangkumi pelbagai lapisan masyarakat.

Festival tersebut juga telah menjana nilai pertukaran hasil pertukaran lebih 100 dokumen Memorandum Persefahaman (MoU) dan Memorandum Kerjasama (MoA) antara Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) dengan pemain industri serta pelancaran produk hasil inovasi para penyelidik bernilai lebih RM160 juta.

Festival ini turut menyaksikan lebih 120 program wacana, 200 pavilion, dan penyertaan lebih 12 kementerian, pavilion negara ASEAN, dan enam negara luar.

Selain itu, Inisiatif utama KPT, 'Idea Vault', juga berjaya mengumpul hampir 10,000 buah idea daripada seluruh negara dan telah dianalisis oleh Universiti Putra Malaysia (UPM) dengan 15 daripadanya dinobatkan pemenang.

Lebih manis, Putrajaya FOI 2025 juga berjaya memecah rekod Malaysia Book of Records untuk atas kejayaan menganjurkan Sesi Wacana Intelektual Terbanyak dalam Satu Acara Inovasi Idea (Most Intellectual Discourse Session in an Innovation Ideas Event).

Majlis turut dihadiri oleh Menteri Pendidikan, YB Fadhlina Sidek; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), YB Dr. Zaliha Mustafa; dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dato' Sri Shamsul Azri bin Abu Bakar.

Esok, Putrajaya FOI 2025 akan melabuhkan tirainya dengan beberapa lagi pengisian dijadualkan antaranya FOI Run Challenge, program KPT Mendekati Rakyat serta konsert Sound of Malaysia@FOI yang akan menampilkan artis-artis ternama tanah air. 

  • Last updated on .
  • Hits: 686
MoHE Logo

Ministry of Higher Education Official Portal © All Rights Reserved

Last Modified: Saturday 13 December 2025, 00:02:22.

sirim-logo