PPRN Inisiatif KPT Libatkan IPTS Bangun Ekonomi

PPRN Inisiatif KPT Libatkan IPTS Bangun Ekonomi
English translation not available for this content.

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, YB Datuk Ts. Mustapha Sakmud hadir ke Dewan Rakyat pagi semalam bagi menjawab soalan ahli Parlimen Batu Pahat mengenai keterlibatan Institusi Pendidikan Tinggi Swasta (IPTS) dalam menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara melalui aktiviti inovasi dan penyelidikan.

"Program Jaringan Awam-Swasta (Public-Private Research Network - PPRN) adalah inisiatif KPT melalui model kerjasama strategik antara industri dan akademia dengan memberi bantuan melalui geran padanan bagi meningkatkan produktiviti dan mengukuhkan pertumbuhan ekonomi Malaysia", menurut beliau.

Katanya lagi "usahasama ini terbuka kepada penyelidik dari Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) dan Swasta (IPTS) serta Pusat-Pusat Penyelidikan di seluruh negara".

Sehingga 31 Disember 2023, sebanyak 680 projek PPRN melibatkan 634 syarikat telah diluluskan dengan jumlah peruntukan kumulatif sebanyak RM 27.7 juta merangkumi industri mikro, kecil, sederhana dan besar merentasi lima (5) sektor ekonomi iaitu Pembuatan; Perkhidmatan; Pertanian; Pembinaan; serta Perlombongan dan Pengkuarian.

Sepanjang 2020 sehingga 2023, Program PPRN telah berjaya diadaptasi oleh pelbagai penerima manfaat merentasi sektor iaitu penyelidik dan syarikat Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) yang bukan sahaja terdiri daripada sektor awam dan swasta dengan jumlah peruntukan sebanyak RM 3.1 juta dengan RM 735 ribu telah disalurkan kepada IPTS.

"Peruntukan ini pada tahun 2024 telah ditingkatkan kepada RM4 juta di bawah insiatif Kerajaan Madani," tambah YB Datuk Ts. Mustapha.

Selain PPRN, KPT turut menyediakan Dana Penyelidikan Fundamental (DPF) KPT sebanyak RM 160 juta pada tahun 2023 dan RM 200 juta untuk 2024.

Pada tahun ini juga, KPT turut menyediakan RM 26 juta dana suntikan pemerkasaan bidang fokus (niche area) Pusat Kecemerlangan Pendidikan Tinggi Malaysia (HICoE) kepada IPTA dan IPTS. 

  • Last updated on .
  • Hits: 1001
MoHE Logo

Ministry of Higher Education Official Portal © All Rights Reserved

Last Modified: Friday 19 July 2024, 10:52:23.