Peranan UPNM Terus Utuh Dalam Pelan Masa Hadapan Pertahanan Dan Keselamatan Negara

Peranan UPNM Terus Utuh Dalam Pelan Masa Hadapan Pertahanan Dan Keselamatan Negara
English translation not available for this content.

Dasawarsa ini menyaksikan gejolak seperti konflik ketenteraan, serangan siber, ketegangan etnik dan agama, tuntutan perairan dan pelbagai bentuk ancaman lagi mulai menyelinap dan membayangi kesejahteraan masyarakat di seluruh pelusuk dunia.

Justeru, faktor pertahanan serta keselamatan sesebuah negara yang berdaulat perlu diberi perhatian khusus, bukan sahaja pada pemerkasaan ketenteraan tetapi juga dalam penciptaan produk inovasi, penyelidikan teknologi baharu serta melahirkan bakat berketerampilan yang mampu mempertahankan tanahair tercinta.

Dalam lawatan kerja Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato' Seri Mohamed Khaled Nordin ke Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) hari ini, beliau menyeru agar universiti itu untuk terus memacu tujahan mereka dalam aspek pertahanan dan keselamatan agar kekal terkehadapan demi memenuhi keperluan dan kepentingan negara.

Setelah 16 tahun dinaik taraf sebagai sebuah universiti awam (UA), UPNM turut disaran untuk memainkan peranan dan fungsinya sebagai peneraju ilmu, penggerak inovasi dan penyumbang kepada kemakmuran negara.

Kehadiran beliau telah disambut oleh mahasiswa-mahasiwi UPNM dengan Tarian Perang (war dance) sebelum diberikan taklimat berkenaan perkembangan, pencapaian serta hala tuju UPNM pada masa akan datang.

Pada majlis tersebut, YB Menteri bersama Pengerusi Lembaga UPNM, YBhg. Tan Sri (Dr) Syed Azman Syed Ibrahim dan Naib Canselor UPNM, YBhg. Lt. Jen. Datuk Hasagaya Abdullah turut menyampaikan sumbangan komputer riba dan dermasiswa kepada 20 orang pelajar di situ.

Turut hadir sama Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KPT, YBhg. Dato' Dr. Megat Sany Megat Ahmad Supian; Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pembangunan) KPT, YBhg. Datuk Dr. Mohd. Zabri Yusoff; dan Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi (Penyelidikan dan Antarabangsa), Jabatan Pendidikan Tinggi, YBrs. Encik Rizal Adnan.

  • Last updated on .
  • Hits: 2735
MoHE Logo

Ministry of Higher Education Official Portal © All Rights Reserved

Last Modified: Tuesday 21 May 2024, 15:10:04.