Penerbitan Buku Ilmiah Disaran Lebih Kreatif Tambat Minat Masyarakat
Penerbitan bahan akademik dan ilmiah oleh Penerbit Universiti perlu digarap lebih kreatif dengan isi yang bermanfaat dan direka bentuk dengan lebih menarik supaya dapat menambat hati para pembaca untuk membelinya.
Jelas Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), YBhg. Dato' Seri Ir. Dr. Zaini Ujang ketika hadir ke reruai Majlis Penerbitan Ilmiah Malaysia (MAPIM) bersempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2024 (PBAKL 2024) di sini malam tadi bagi melancarkan judul-judul terbaharu tahun 2023-24 terbitan ahli-ahli MAPIM.
Dalam perkongsiannya dengan para hadirin, beliau telah menyarankan beberapa cara kepada ahli-ahli MAPIM untuk memperkasakan lagi industri buku akademik negara.
Selain itu, beliau turut mencadangkan agar para Penerbit Universiti berkolaborasi dengan mantan pensyarah bagi mereka menyumbangkan pengalaman dan kearifan yang ada untuk dicoretkan ilmu dan susur galurnya supaya dapat dikutip manfaatnya oleh generasi muda.
Mengambil contoh kejayaan Harvard Business Review (HBR), beliau turut menyarankan agar Penerbit Universiti dapat menerbitkan naskhah yang mudah dibaca dengan penjenamaan (branding) yang menonjol seumpamanya, supaya laris dijual sekali gus mampu menyumbang kepada pendapatan universiti.
MAPIM merupakan persatuan dianggotai 22 Penerbit Universiti yang menerima peruntukan daripada KPT dan dipertanggungjawabkan bagi merancak serta memartabatkan sektor buku akademik dan ilmiah negara.
Pada PBAKL 2024 ini, MAPIM membuka 24 buah reruai yang mempamerkan sejumlah 4000 tajuk buku yang meliputi 140 bidang ilmu terbitan universiti awam dan swasta tempatan.
- Last updated on .
- Hits: 838