KSU Buat Pemantauan Projek Naik Taraf Dan Pembangunan Hospital USM Kubang Kerian

KSU Buat Pemantauan Projek Naik Taraf Dan Pembangunan Hospital USM Kubang Kerian
English translation not available for this content.

Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), YBhg. Dato' Seri Ir. Dr. Zaini Ujang telah memulakan lawatan kerja dua (2) harinya ke Negeri Kelantan untuk memantau projek naik taraf dan pembangunan Institusi-institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) di bawah kementerian pagi tadi.

Beliau ke destinasi pertama iaitu Kampus Kesihatan Hospital Universiti Sains Malaysia Kubang Kerian (Hospital USM) dan telah disambut oleh Naib Canselor, Prof. Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed; Pengarah Hospital Prof. Dato' Dr. Nik Hisamuddin Nik Ab. Rahman.

Dalam lawatan pemantauan yang diselia oleh Bahagian Pembangunan KPT dan Jabatan Kerja Raya (JKR) tersebut, YBhg. Dato' Seri KSU telah diberi taklimat berkenaan projek-projek yang sedang dilaksanakan dan akan dibangunkan di situ.

Antaranya kerja-kerja naik taraf beberapa ruang kepada wad perubatan; penggantian peralatan usang; ubahsuai infrastruktur dan kemudahan sedia ada; dan juga sistem kumbahan radioaktif.

YBhg. Dato' Seri KSU juga turut dibawa meninjau ke tapak projek pembangunan Kompleks Klinik Pakar Pesakit Luar Hospital USM bernilai RM120 juta yang dijangka siap pada tahun 2027 nanti.

Ketika sesi taklimat pagi tadi juga, YBhg. Dato' Seri KSU turut menegaskan bahawa peranan Hospital USM adalah bagi menyokong sistem kesihatan sedia ada di kawasan Pantai Timur dengan penawaran perkhidmatan rawatan yang lengkap dan terbaik.

Selain itu, beliau juga menyarankan kepada pengurusan USM untuk memasukkan elemen kelestarian dan tenaga hijau dalam projek-projek pembangunan akan datang. 

  • Last updated on .
  • Hits: 467
MoHE Logo

Ministry of Higher Education Official Portal © All Rights Reserved

Last Modified: Friday 19 July 2024, 10:52:23.