RUU Politeknik Dan Kolej Komuniti Malaysia Bakal Perkasa JPPKK Dan Graduan TVET Negara

RUU Politeknik Dan Kolej Komuniti Malaysia Bakal Perkasa JPPKK Dan Graduan TVET Negara
English translation not available for this content.

Rang Undang-Undang Politeknik dan Kolej Komuniti atau Politeknik Malaysia (RUU PolyCC) yang sedang dirangka oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dilihat bakal memperkasakan sektor TVET kebangsaan sekali gus mampu melahirkan graduan diiktiraf yang profesional dan berkemahiran tinggi dengan gaji premium setara pasaran antarabangsa.

Malah, RUU tersebut juga bakal memperkasakan lagi peranan dan hala tuju Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) pada masa hadapan dalam menyokong gagasan Kerajaan serta keperluan mampan sektor industri.

Ketua Setiausaha (KSU) KPT, YBhg. Dato' Seri Ir. Dr. Zaini Ujang berkata demikian kepada para pengurusan tertinggi JPPKK ketika berdialog dalam sesi Town Hall Kajian RUU PolyCC di Politeknik Kota Bharu pagi tadi.

Terdahulu, YBhg. Dato' Seri KSU telah mendengar taklimat dapatan kajian oleh Ketua Penyelidik Projek Pembangunan RUU PolyCC, Dr. Norazlina Abd. Aziz dari Fakulti Undang-Undang Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam.

Berdasarkan kajian tersebut, menurut YBhg. Dato Seri KSU, Kementerian akan melihat kepada model Akta UiTM 1976 sebagai rujukan dan bersamanya, Akta Politeknik Ungku Omar 1974 untuk ditambah baik.

KPT turut akan mempertimbangkan sehalusnya cadangan yang dikemukakan oleh pasukan projek untuk mentransformasikan JPPKK sebagai sebuah Badan Berkanun atau menambah baik perkhidmatan sedia ada dan kekal sebagai sebuah jabatan kerajaan.

Dalam kesempatan itu, beliau menyeru semua warga JPPKK untuk merebut peluang memberikan yang terbaik dalam merealisasikan gagasan TVET kebangsaan ketika mana para pemimpin negara, dunia dan peneraju industri global turut memberikan fokus.

"Kita mahu graduan TVET kita bukan sahaja memiliki kemahiran yang tinggi dan menerima upah yang lumayan, malah turut diberi penghormatan dan dijadikan rujukan seperti graduan akademik yang lain", ujar beliau.

Hadir sama Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Dr. Haji Mohd Zahari Ismail. 

  • Last updated on .
  • Hits: 561
MoHE Logo

Ministry of Higher Education Official Portal © All Rights Reserved

Last Modified: Friday 19 July 2024, 10:52:23.