Malaysia Memacu Transformasi Penyelidikan & Inovasi Dengan Scopus AI

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, YB Datuk Ts. Mustapha Sakmud hadir merasmikan Majlis Pelancaran Scopus AI & Research Impact Summit 2025 di sini petang tadi.
Malaysia kini negara pertama di Asia Pasifik melanggan Scopus AI, sebuah platform berkuasa kecerdasan buatan yang bakal memberi akses kepada 20 Universiti Awam (UA) untuk mengangkat kualiti penyelidikan negara ke tahap global.
Dengan Scopus AI, para penyelidik berupaya menganalisis berjuta-juta artikel ilmiah dengan lebih pantas dan tepat, mengenal pasti trend baharu serta peluang kolaborasi rentas disiplin, menghasilkan impak penyelidikan yang bukan sahaja bersifat akademik tetapi mencorak polisi, industri dan kesejahteraan masyarakat.
Majlis anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) melalui Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dengan kerjasama strategik Elsevier ini seiring dengan Rangka Tindakan AI Nasional, Pelan Strategik Pengajian Tinggi serta aspirasi Ekonomi MADANI yang menekankan penciptaan ilmu, inovasi, dan impak sosial.
Dalam ucapannya, YB Timbalan Menteri menegaskan bahawa penyelidikan hari ini tidak lagi diukur pada kuantiti penerbitan semata-mata, tetapi pada nilai transformasi yang dihasilkan.
Research Impact Summit 2025 turut menjadi platform dialog global, mempertemukan pemikir, inovator, dan pembuat dasar untuk membincangkan strategi memperkasa penyelidikan yang mampan, berdaya saing dan berpaksikan manusia.
KPT komited untuk memastikan setiap penyelidikan dan inovasi memberi sumbangan kepada pembangunan masyarakat, kemajuan industri, dan reputasi negara sebagai hab kecemerlangan intelektual.
Turut hadir, Naib Canselor UMK, Prof. Ir. Ts. Dr. Arham Abdullah.
- Last updated on .
- Hits: 336