KDPB Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Terima Anugerah Ijazah Kehormat Universiti Tsukuba

Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menghadiri Majlis Penganugerahan Ijazah Kehormat oleh Universiti Tsukuba, Jepun di ibu negara petang tadi.
Kebawah Duli Paduka Baginda telah dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (Doctor Honoris Causa) sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan cemerlang dalam pendidikan, diplomasi antarabangsa dan pembangunan masyarakat.
Berangkat sama mengiringi adalah Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Sultan Iskandar Al-Haj.
Turut berlangsung, sesi dialog antara Kebawah Duli Paduka Baginda, Presiden Universiti Tsukuba, Dr. Nagata Kyosuke, Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir, serta Duta Jepun ke Malaysia, TYT Shikata Noriyuki.
Majlis telah turut diserikan dengan titah ucapan penghargaan oleh Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan atas penganugerahan yang telah diterima.
Universiti Tsukuba merupakan universiti penyelidikan kebangsaan terkemuka di Jepun yang ditubuhkan secara rasmi pada tahun 1973, dengan sejarah akademik yang bermula sejak 1872 dan kini menempatkan puluhan ribu pelajar di kampus utamanya di Tsukuba Science City.
Malaysia menjadi lokasi pertama penubuhan kampus luar negara universiti tersebut menerusi pembukaan University of Tsukuba Malaysia (UTMy) di Kuala Lumpur pada tahun 2024, yang menawarkan program ijazah Jepun berteraskan pendekatan transdisiplin dan kurikulum setara dengan kampus induk di Jepun.
Pembukaan UTMy juga melakar sejarah baharu kedua-dua negara apabila buat julung-julung kalinya, Jepun membuka cawangan universitinya di luar negara.
Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi, Datuk Dr. Anesee Ibrahim dan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Prof. Dr. Azlinda Azman.
- Last updated on .
- Hits: 274