DICE 3.0 Cipta Rekod Malaysia Book Of Records, Anjakkan Bakat Digital IPT Ke Persada Global

Program Digital Innovation Creativepreneur 3.0 (DICE 3.0) melabuhkan tirainya dengan penuh gemilang apabila mencipta sejarah baharu dalam Malaysia Book of Records (MBOR) menerusi pengiktirafan kategori 'Most Digital Start-up Projects by Students in an International Programme.'
Edisi ketiga ini dianjurkan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bersama Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) sebagai platform bersepadu untuk melahirkan bakat muda IPT yang berdaya saing dalam ekosistem kandungan digital kreatif.
Sebanyak 320 peserta termasuk pelajar dan pensyarah IPT dari seluruh negara serta jemputan khas dari Indonesia, Thailand dan Brunei telah mempersembahkan 64 projek digital kreatif merangkumi animasi pendek, filem pendek, media interaktif (VR/AR) dan aplikasi permainan digital.
Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir menegaskan bahawa DICE telah berjaya membentuk ekosistem keusahawanan pelajar yang dinamik, selari dengan keperluan industri kreatif digital, sekali gus melahirkan usahawan muda berdaya saing di peringkat global.
Beliau optimis platform ini akan terus menjadi pemangkin kepada pelajar untuk menjadi pencipta pekerjaan (job creators) dan pemimpin kreatif (creativepreneurs), sambil menggesa peserta memanfaatkan pengalaman yang diperoleh sebagai lonjakan ke arah penghasilan produk bertaraf dunia.
Pengiktirafan daripada MBOR ini membuktikan kejayaan DICE sebagai pemacu utama yang mengangkat nama Malaysia dalam landskap kandungan digital kreatif serantau dan mengukuhkan peranannya sebagai ekosistem latihan, bimbingan serta inkubasi bakat.
Keunikan DICE turut terserlah dengan sokongan padu rakan industri, termasuk Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) yang kekal sebagai rakan strategik utama melalui perjanjian persefahaman dengan UniSZA, termasuklah penyediaan lokasi dan bimbingan pakar industri.
Selain MDEC, Cradle Fund Sdn. Bhd., GIG Ventures dan Warnakala Studios turut memberi komitmen tinggi dengan menaja anugerah dan menjadi mentor kepada peserta, memastikan kesinambungan ekosistem inovasi digital yang mapan.
Turut hadir, Ketua Setiausaha KPT, Datuk Dr. Anesee Ibrahim; Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KPT, Dato’ Dr. Haji Megat Sany Megat Ahmad Supian; Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Prof. Dr. Azlinda Azman; Setiausaha Bahagian, Bahagian Perancangan Strategik KPT, Fazidah Mustafa; Naib Canselor UniSZA, Prof. Dato’ Dr. Fadzli Adam; serta Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Anuar Fariz Fadzil.
Sejak penganjuran DICE 1.0 pada 2023, inisiatif ini telah melahirkan 156 syarikat pemula melibatkan lebih 742 peserta dengan jaringan lebih 30 rakan industri, menjadikannya antara platform pembangunan bakat digital kreatif paling berpengaruh di Malaysia.
- Last updated on .
- Hits: 328