Majlis Amanat YAB Perdana Menteri: RM15 Juta Untuk Dapur Siswa MADANI Pastikan Kebajikan Mahasiswa

Majlis Amanat YAB Perdana Menteri: RM15 Juta Untuk Dapur Siswa MADANI Pastikan Kebajikan Mahasiswa
English translation not available for this content.

Barisan kepimpinan tertinggi Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) hari ini menzahirkan komitmen mendengar Amanat Tahun Baharu 2026 yang disampaikan oleh Perdana Menteri, YAB Datuk Seri Anwar Ibrahim, menerusi penglibatan di dua (2) lokasi berasingan.

Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato' Seri Dr. Zambry Abd Kadir hadir secara fizikal di Dewan Seri Endon, Puspanitapuri bagi menyertai YAB Perdana Menteri dan jemaah menteri lain pada majlis Perhimpunan Bulanan Jabatan Perdana Menteri dan amanat berkenaan.

Sementara itu, Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, YB Tuan Adam Adli Abd Halim mengetuai warga kerja KPT mengikuti ucapan tersebut menerusi sesi penstriman langsung yang diadakan di Dewan Za'ba, KPT.

Turut serta menyaksikan siaran langsung di Dewan Za'ba ialah Ketua Setiausaha KPT, Datuk Dr. Anesee Ibrahim; Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar), Dato' Dr. Haji Megat Sany Megat Ahmad Supian; dan Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pembangunan), Datuk Ts. Dr. Mohd Nor Azman Hassan.

Dalam amanat tersebut, YAB Dato' Seri Anwar mengumumkan penyaluran peruntukan sebanyak RM15 juta bagi pelaksanaan inisiatif makanan percuma dan bank makanan yang dikenali sebagai Dapur Siswa MADANI.

Program Dapur Siswa MADANI diperkenalkan oleh KPT dengan memperluaskannya ke seluruh Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) sebagai usaha mengurangkan beban kos sara hidup serta memastikan kebajikan pelajar terbela sepanjang pengajian mereka di menara gading.

Susulan pengumuman tersebut, KPT merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada YAB Perdana Menteri atas keprihatinan kerajaan MADANI dalam memastikan tiada mahasiswa yang tercicir daripada mendapat keperluan asas, khususnya makanan. 

  • Last updated on .
  • Hits: 743
MoHE Logo

Ministry of Higher Education Official Portal © All Rights Reserved

Last Modified: Friday 23 January 2026, 09:07:53.

sirim-logo